Raih kontrak lebih RM60 juta guna dokumen palsu, SPRM siasat 25 syarikat


  • 112
  • Rabu, 12 Jan 2022

Sebanyak 25 buah syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kesemua syarikat itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut bagi melayakkan mereka mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan itu.

"Kita telah menahan seramai 25 individu yang disyaki terlibat di Bangi, Selangor dan pejabat SPRM Kedah pada Isnin dan Selasa.

"Kita masih mencari lagi pihak terbabit dengan ada antara mereka yang dikenal pasti sudah menukar alamat," katanya pada Rabu

Hari ini dua lagi individu yang ditahan itu dikenakan reman selama enam hari bermula Rabu selepas Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail membenarkan permohonan SPRM ke atas kedua-dua mereka yang berumur 37 dan 51 tahun.

Katanya, sehingga kini, jumlah yang direman ialah 17 orang termasuk 15 individu yang direman antara tiga dan lima hari mulai Selasa, manakala lapan lagi yang ditahan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kesemua mereka yang terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri itu berusia antara 31 hingga 77 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, Kedah, penyata palsu, kontrak