PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah perlu direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesai.
Perkara itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang turut menegaskan bahawa tindakan itu perlu kerana Abu Zahar sudah kehilangan kepercayaan ahli-ahli LPPR manakala Borhan enggan menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
"Sudah jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan.
"Kenyataan enam ahli LPPR menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai Ahli LPPR. Oleh itu, Abu Zahar perlu direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya.
"Pada masa yang sama, Borhan juga perlu direhatkan sehingga siasatan sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan perdagangan berjuta-juta saham dan waran," kata Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Tambahnya lagi, pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas juga diperlukan untuk mengetuai LPPR dan PPPR supaya kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula.
Terdahulu, enam ahli LPPR menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu pada Sabtu
Dalam satu kenyataan mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mereka menjelaskan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden PH memandang serius dan menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Azam serta membuat tuduhan kononnya isu berkenaan bermotif 'dendam politik'.
Katanya, perkara itu adalah janggal malah tindakan sedemikian mirip tingkah laku ahli politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.
Beliau berkata, jika ia berasaskan 'dendam politik', tindakan SPRM menyiasat Suruhanaya Sekuriti (SC) secara mendadak sewaktu siasatan perdagangan saham secara proksi oleh Azam juga boleh disifatkan sebagai tekanan bermotif 'dendam politik'.
"Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
"Oleh itu, pegawai-pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat
secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan 'membersihkan' nama beliau," katanya.
Sementara itu, Ahad lalu, tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM menyatakan pendirian menyokong Azam manakala tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
Mereka yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (Pencegahan) dan Datuk Junipah Binti Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme) menggesa semua pihak menghentikan kemelut itu dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
Majlis Presiden PH seterusnya mengulangi pendirian supaya sidang khas Parlimen diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting berkaitan Azam.
Katanya, sidang Parlimen itu sebaik-baiknya diadakan sehari sebelum atau selepas sidang khas isu banjir pada 20 Januari 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram