AKTIVITI berjalan kaki dan berlari menduduki carta teratas sebagai rutin kecergasan paling popular di Malaysia sepanjang tahun lalu, menurut dapatan terbaharu daripada Laporan Data Garmin Connect 2025.
Data yang diperoleh daripada jutaan pengguna peranti boleh pakai di seluruh dunia itu menunjukkan peralihan ketara dalam trend kecergasan global. Secara keseluruhan, lima aktiviti utama yang direkodkan adalah larian luar bangunan, berjalan kaki, berbasikal, latihan kekuatan dan senaman kardiovaskular dalam bangunan seperti HIIT serta kelas tarian.
Menariknya, penduduk di rantau Asia kini mengamalkan rutin senaman yang lebih seimbang antara latihan kardio dan latihan kekuatan berbanding masyarakat di Barat. Di rantau ini, latihan kekuatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 27 peratus, sekali gus mengatasi sukan berbasikal buat kali pertama dalam senarai tiga sukan utama.
BACA LAGI: Evolusi kediaman 2026, antara sentuhan klasik dan seni pencahayaan
BACA LAGI: Ketagihan membeli-belah ancaman 'oniomania' terhadap remaja
Laporan itu turut mendedahkan lonjakan luar biasa dalam penyertaan sukan sosial. Penyertaan pickleball meningkat mendadak sebanyak 700 peratus, diikuti sukan padel (132 peratus) dan Pilates (43 peratus). Trend ini menandakan minat masyarakat yang semakin meningkat terhadap bentuk kecergasan yang lebih pelbagai dan bersifat santai.
Walaupun Pilates semakin mendapat tempat kerana manfaatnya terhadap kekuatan teras badan, aktiviti yoga dilihat seolah-olah semakin kurang mendapat perhatian apabila tidak disebut secara khusus dalam laporan tahun ini.
Dari aspek demografi, golongan wanita kini mendahului dalam latihan kekuatan dengan catatan sesi enam peratus lebih tinggi berbanding lelaki. Bagi tempoh senaman pula, pelari lazimnya menghabiskan masa sekitar 30 hingga 45 minit, manakala pengayuh basikal merupakan kumpulan yang paling tekun dengan hampir separuh daripada aktiviti mereka menjangkau tempoh sejam atau lebih.
Menyentuh mengenai purata langkah harian, Hong Kong menduduki tempat teratas dengan 10,663 langkah, diikuti Korea Selatan dan Sepanyol. Walaupun data spesifik bagi Malaysia tidak didedahkan, pakar menegaskan bahawa manfaat kesihatan yang signifikan, termasuk pengurangan risiko penyakit jantung, boleh dicapai dengan hanya 7,000 hingga 8,000 langkah sehari.
Bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas, sasaran 6,000 hingga 8,000 langkah adalah memadai. Kajian menunjukkan bahawa jumlah langkah yang melebihi angka tersebut tidak memberikan tambahan manfaat kesihatan atau kecergasan yang ketara bagi kumpulan umur berkenaan.
Jurulatih kecergasan menyarankan agar individu yang ingin memulakan rutin larian mencuba teknik 'joging sangat perlahan' terlebih dahulu. Teknik ini bertujuan menyesuaikan minda dan badan sebelum meningkatkan kelajuan secara berperingkat atau menyelang-selikan berjalan pantas dengan joging perlahan.
Laporan itu juga memperincikan kecenderungan mengikut usia. Golongan muda (18-29 tahun) lebih gemar berlari, manakala kumpulan 30-39 tahun lebih tertumpu kepada latihan kekuatan dan aktiviti di pusat gimnasium bagi mengelakkan masalah kemerosotan jisim otot (sarcopenia) pada masa hadapan.
Golongan pertengahan umur (40-59 tahun) pula mendominasi aktiviti larian denai, berbasikal dalam bangunan, dan renang. Sementara itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas lebih cenderung kepada aktiviti berbasikal luar bangunan, berjalan kaki, dan mendaki, manakala golongan berusia 70 tahun ke atas lebih gemar meluangkan masa di padang golf.
Dari segi waktu senaman, warga emas lebih gemar bersenam antara jam 8 hingga 10 pagi. Sebaliknya, golongan muda lebih memilih waktu petang atau malam, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan komitmen waktu bekerja mereka.
Satu lagi penemuan menarik adalah berkaitan tahap tekanan. Data menunjukkan wanita melaporkan tahap tekanan tiga peratus lebih rendah berbanding lelaki. Belanda direkodkan sebagai negara yang mempunyai tahap tekanan paling rendah di dunia.
Walaupun kajian sebelum ini sering mengaitkan wanita dengan tahap tekanan emosi dan fizikal yang lebih tinggi disebabkan tanggungjawab keluarga, penglibatan aktif dalam sukan dilihat menjadi faktor penyumbang utama dalam mengurangkan tekanan tersebut.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup aktif melalui berjalan kaki dan berlari bukan sahaja mampu membina tubuh yang sihat, malah berupaya mengurangkan kos penjagaan kesihatan serta meningkatkan produktiviti negara dalam jangka masa panjang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
