LANGIT tidak selalu cerah, hidup tidak selalunya indah.
Ada masanya, ia berputar tanpa amaran, menukar peranan manusia dalam sekelip mata.
Itulah realiti yang dikongsikan oleh seorang wanita menerusi luahan menyentuh hati di akaun Threads @nurru_nourel apabila mengenang kembali detik-detik awal kehidupannya bersama abang tersayang.
BACA LAGI: Dulu cari rezeki tepi jalan, 'silver man' Indonesia kini jadi model profesional

Situasi abangnya selepas didiagnos OKU mental. — Threads
"24 tahun yang lalu, abanglah yang menggenggam tanganku, menghantar aku ke sekolah menengah di hari orientasi Tingkatan 1.
"Abang juga yang menuliskan namaku. Tak pernah aku sangka, usia 30-an barulah tanganku memegang stereng kereta sendiri.
"Kerana itu, hari ini akulah pula yang memandu kereta abang dan membawanya ke klinik," luahnya.
Menurutnya, situasi tidak disangka itu berlaku selepas abangnya disahkan menghidap masalah kesihatan mental dan dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
Perubahan itu katanya, memberi tamparan hebat tentang hakikat kehidupan yang sentiasa berputar.
"Dalam diam, saya sedar hidup ini memang berputar. Peranan boleh bertukar tanpa kita sempat bersedia," ujarnya.
Melihat keadaan abangnya, ia juga memberi hikmah dan ruang untuknya belajar erti reda.
"Di dapur aku berdiri, menyediakan makanan tengahari anak-anak sebelum mereka ke sekolah.
"Tiba-tiba, hati ini berpesan, aku pandang tiga anak lelaki kesayanganku.
"Dalam hati berkata, andai mama pergi dulu, tolong jagakan ayah lang kamu," luahnya.
Tanpa sedar, air matanya jatuh apabila menyedari bahawa kasih sayang merupakan satu amanah yang tidak terhenti pada satu generasi.
Malah, ia mengalir dan terus hidup selagi masih ada waris yang sanggup saling menjaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
