Wanita raih untung puluhan juta jual aksesori guna sisa alat solek 'expired'


  • Sukses
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Perniagaan Zara kini meraih keuntungan puluhan juta dan menembusi pasaran antarabangsa. — Agensi

'JIKA melakukan apa yang anda cintai, semuanya akan terasa berbaloi'.

Itulah ungkapan ringkas yang mencerminkan perjalanan Zara Tentriabeng.

Beliau turut dikenali sebagai wanita warga Indonesia kreatif yang berjaya mengubah alat solek menjadi aksesori bernilai tinggi, sekali gus menjana pendapatan puluhan juta rupiah setiap bulan.

BACA LAGI: 'Setiap bulan potong gaji masuk tabung haji', anak kenang jasa bapa sebelum meninggal dunia di Tanah Suci

BACA LAGI: 'Larian ibu kepada segala sukan', guru perjelas sebab kejohanan merentas desa wajib di sekolah

Sisa serbuk pembayang mata dijadikan sebagai pigmen warna untuk aksesorinya. — Agensi

Zara merupakan pengasas kepada jenama perhiasan, Hexagon yang ditubuhkan pada 2014.

Jenamanya turut menghasilkan pelbagai aksesori seperti anting-anting, gelang dan rantai leher dengan keunikan tersendiri.

Menariknya, kesemua aksesori tersebut menggunakan campuran warna daripada alat solek yang telah tamat tempoh sebagai bahan pewarna.

Perjalanan perniagaan Zara bermula selepas beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sebuah syarikat kasut.

Dengan modal awal sekitar RP10 juta (RM2,300), beliau membangunkan perniagaan impiannya berteraskan prinsip turn waste into love.

Pada peringkat awal, Hexagon menggunakan bahan seperti potongan akrilik laser dan kayu kitar semula.

Anting-anting antara aksesori yang dihasilkan daripada bahan kitar semula tersebut. — Agensi

Namun, pada 2020, Zara mula bereksperimen dengan medium baharu, iaitu tanah liat buatan (polymer clay) dan memanfaatkan alat solek seperti pembayang mata (eyeshadow) yang telah tamat tempoh sebagai sumber pigmen pewarna.

"Perhiasan kami dihasilkan daripada campuran warna yang diambil daripada alat solek tamat tempoh seperti pembayang mata, pemerah pipi dan bronzer.

"Serbuk itu dicampurkan ke dalam polymer clay dan menjadikan produk kami lebih lestari," katanya.

Inspirasi tersebut tercetus apabila Zara menyedari jumlah sisa solekan yang tidak digunakan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Sebagai seorang pereka, beliau juga ingin keluar daripada penggunaan medium yang sama secara berulang.

Beliau mempelajari teknik tersebut secara kendiri melalui platform YouTube dan mendapati pigmen warna boleh diperoleh daripada bahan berbentuk serbuk.

Sejak itu, timbulnya idea untuk menggunakan solekan lama sebagai bahan kitar semula.

Hasilnya juga ternyata mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

 

 

 

 

Bangkit ketika pandemik

Perjalanan Hexagon bagaimanapun bukanlah semudah disangka.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, perniagaannya pernah mencatatkan sifar jualan selama dua bulan.

Namun, idea yang lahir itu membantu Hexagon bangkit semula secara perlahan tetapi konsisten.

Kini Hexagon bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Jepun, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Harga produknya juga dijual bermula sekitar RP175,000 (RM41) hingga RP250,000 (RM59) bagi anting-anting, manakala rantai leher boleh mencecah RP1 juta (RM238) bergantung kepada reka bentuk.

Dari segi pendapatan, Hexagon mencatatkan peningkatan ketara, daripada sekitar RP5 (RM1,191) hingga RP6 juta (RM1,429) sebulan pada peringkat awal.

Jenama itu kini mampu menjana purata RP12 juta (RM2,859) hingga RP15 juta (RM3,574) sebulan serta boleh mencecah RP30 juta (RM7,149) ketika menyertai pameran atau bazar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram