SEORANG pakar psikiatri dan penyelidik di Children’s Hospital of Philadelphia, Ran Barzilay baru-baru ini memilih untuk tidak membenarkan anak lelakinya berusia sembilan tahun memiliki telefon pintar sebelum umur 13 tahun.
Berdasarkan dapatan kajian terbaharunya di dalam jurnal perubatan kanak-kanak itu mendapati, mereka yang memiliki telefon pintar pada usia muda berdepan risiko kesihatan lebih tinggi termasuk kemurungan, obesiti dan kekurangan tidur.
Kajian itu turut mendapati kanak-kanak yang memiliki telefon pintar sebelum usia 12 tahun mempunyai risiko kemurungan 31 peratus lebih tinggi, obesiti meningkat 40 peratus serta kekurangan tidur sebanyak 62 peratus berbanding kanak-kanak yang tidak memiliki peranti tersebut.
BACA LAGI: Paksa walau nangis, penjagaan gigi bayi perlu dimulakan seawal gigi pertama tumbuh — Pakar
BACA LAGI: Galas 2 tanggungjawab, Natasha Khan buktikan akademik, fesyen mampu jalan serentak

Ibu bapa disarankan untuk memantau dan mengawal penggunaan telefon pintar untuk anak. — Gambar hiasan
Kekurangan tidur dalam kajian berkenaan ditakrifkan sebagai tidur kurang daripada sembilan jam sehari.
Kajian tersebut menggunakan data pemerhatian yang dikumpulkan antara 2016 hingga 2022 dan melibatkan lebih 10,000 kanak-kanak di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Data tersebut juga merupakan sebahagian daripada Adolescent Brain Cognitive Development Study iaitu kajian berskala nasional yang menilai perkembangan otak dan kesihatan kanak-kanak dari usia sembilan hingga 10 tahun sehingga awal dewasa.
Dalam kohort kajian itu, setiap kanak-kanak yang menerima telefon pintar mempunyai usia berbeza antara empat hingga 13 tahun.
"Kami tidak menyeru masyarakat untuk kembali ke Zaman Batu.
"Kami sedar hampir semua remaja akhirnya akan memiliki telefon pintar," katanya.
Menurut tinjauan Pew Research Center pada 2025, hampir 60 peratus ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 11 hingga 12 tahun di AS memiliki telefon pintar.
Peratusan itu lebih rendah bagi kanak-kanak berusia lapan hingga 10 tahun (29 peratus) dan lima hingga tujuh tahun (12 peratus).
Kebimbangan terhadap kesan peranti mudah alih timbul seiring peningkatan kadar kemurungan, kebimbangan dan pemikiran dalam kalangan remaja AS sejak sedekad lalu.
Meskipun skrin bukanlah faktor utama, banyak kajian mengaitkan penggunaan berlebihan dengan kesihatan mental yang lebih buruk.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa telefon pintar juga mempunyai manfaat, termasuk membantu kanak-kanak berhubung dengan orang lain serta memberi rasa selamat kepada ibu bapa.
"Kami tidak mengatakan telefon pintar itu buruk, tetapi tidak juga mengatakan ia baik.
"Pastikan ia tidak menguasai seluruh kehidupan mereka," jelasnya.
Dalam analisis seterusnya, penyelidik meneliti kanak-kanak yang belum memiliki telefon pintar pada usia 12 tahun.
Setahun kemudian, kira-kira separuh daripada mereka menerima telefon pintar dan kumpulan tersebut menunjukkan risiko masalah kesihatan mental serta kekurangan tidur lebih tinggi berbanding rakan sebaya yang masih tidak memiliki telefon pintar.
Walaupun faktor seperti pendapatan keluarga, tahap pendidikan ibu bapa, pemantauan ibu bapa dan penggunaan peranti lain telah dikawal, beliau mengakui faktor lain yang tidak diukur mungkin turut mempengaruhi keputusan kajian.
Menurutnya, dapatan tersebut menunjukkan trend umum dan tidak boleh digunakan untuk meramalkan kesan terhadap setiap individu.
"Ia berdasarkan purata. Ia tidak menentukan apa yang akan berlaku kepada seorang kanak-kanak secara khusus," tambahnya.
Sebagai langkah praktikal, beliau mencadangkan ibu bapa untuk memastikan penggunaan telefon pintar tidak mengganggu tidur, aktiviti fizikal dan hubungan sosial anak.
Antara saranan lain adalah tidak membenarkan telefon pintar dibawa ke bilik tidur pada waktu malam serta mengamalkan waktu bebas gajet bersama keluarga seperti semasa makan.
Beliau pada masa sama menggalakkan ibu bapa membuat keputusan secara rasional dengan menilai manfaat dan risiko berdasarkan bukti sedia ada.
"Usaha yang membantu keluarga menangguhkan penggunaan telefon pintar mungkin merupakan langkah yang munasabah," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
