SEORANG pelajar perempuan di Glasgow, Scotland, United Kingdom (UK) berjaya memecah rekod sekolah apabila tersenarai dalam anugerah Girls of the Year oleh majalah Time.
Pengiktirafan tersebut diberikan selepas Rebecca Young, 13, mencipta peranti inovatif bagi membantu komuniti setempat termasuk golongan gelandangan pada musim sejuk.
Pada usianya masih 'hijau' Rebecca mampu menghasilkan idea untuk mencipta pemanas selimut menggunakan janaan kuasa solar yang boleh menyimpan tenaga haba.
BACA LAGI: Simpan niat dengan suami, guru derma tanah sendiri lebih 7,000 meter bina sekolah
BACA LAGI: Wanita raih untung puluhan juta jual aksesori guna sisa alat solek 'expired'

Pemanas selimut yang diinovasi daripada idea kreatif Rebecca. — Agensi
"Melihat semua gelandangan kesejukan membuatkan saya ingin membantu dan ia adalah masalah yang perlu diperbaiki.
"Pada siang hari, haba dari matahari boleh memberi tenaga kepada panel solar dan ia dimasukkan ke dalam pek bateri yang boleh menyimpan haba.
"Apabila cuaca sejuk pada waktu malam, orang ramai boleh menggunakan tenaga yang disimpan dalam pek bateri untuk tidur.
"Di Glasgow, cuaca boleh jadi terlalu sejuk dan membeku pada waktu malam dan gelandangan tidak mempunyai bekalan elektrik.
"Jadi, saya fikir panel solar boleh membantu mereka," katanya.
Idea itu kemudiannya direalisasikan oleh syarikat kejuruteraan Thales dan mengubahnya menjadi prototaip yang berfungsi.
Sebanyak 35 unit alat tersebut diberikan kepada Homeless Project Scotland untuk digunakan di Glasgow.

Lukisan awal yang akhirnya direalisasikan untuk membantu komuniti setempat. — Agensi
Bukan itu sahaja, idea Rebecca turut muncul sebagai pemenang dalam pertandingan UK Primary Engineer yang disertai lebih 70,000 murid.
Ibunya, Louise turut meluahkan rasa bangga atas pencapaian anaknya.
"Semuanya bermula daripada sebuah lukisan dan kini ia benar-benar dihasilkan.
"Itu sangat luar biasa," luahnya.
Rebecca pada masa sama menjadi inspirasi dan galakan kepada pelajar perempuan yang berminat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Meskipun berjaya dalam bidang kejuruteraan, Rebecca mendedahkan bahawa cita-citanya adalah untuk menjadi seorang pemuzik.
"Jika anda ada idea, sertailah kelab dan berbincang dengan orang lain.
"Ia sangat membantu," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
