Galas 2 tanggungjawab, Natasha Khan buktikan akademik, fesyen mampu jalan serentak


  • Sukses
  • Rabu, 21 Jan 2026

Natasha Khan percaya bahawa kemahiran praktikal perlu bergerak selari dengan kreativiti. — The Star

UNGKAPAN 'mereka yang tidak mampu akan memilih untuk mengajar' mungkin sering diulang.

Namun, hakikat itu ditepis sepenuhnya oleh Natasha Khan.

Sebagai pereka fesyen merangkap pensyarah, Natasha membuktikan bahawa dunia akademik dan industri kreatif bukanlah dua laluan berbeza, sebaliknya saling melengkapi.

BACA LAGI: Demi pelajar rasa lebih selamat, guru ubah suai bilik kaunseling konsep 'feels like home'

BACA LAGI: Setia sampai 5 tahun, pekerja syarikat automotif ganti bonus 'cash' dengan unit pangsapuri

Photoshoot and interview with fashion designer and fashion educator Natasha Khan. — YAP CHEE HONG/The Star

Fesyen tetap menjadi minat utama bagi Natasha. — The Star

Sama ada berada di studio menyiapkan busana atau di bilik kuliah membimbing bakat muda, Natasha kelihatan selesa memegang kedua-dua peranan tersebut.

Di sebalik penampilan luaran yang tampak tegas, pensyarah berusia 27 tahun itu tampil menunjukkan sisi mesra ketika sesi fotografi dan temu bual.

Mungkin itulah cerminan pendekatan profesionalnya dalam mendidik pelajar, tegas tanpa berlebihan, jelas tanpa berkompromi.

"Pelajar mungkin lebih biasa melihat saya sebagai seorang pendidik yang serius.

"Di dalam kelas, saya perlu membawa diri dengan lebih formal. Setiap semester saya mengajar sekitar 50 orang pelajar, jadi fokus adalah keutamaan saya," katanya.

Natasha yang kini berkhidmat di Management & Science University (MSU) turut berkongsi bahawa 'Khan' merupakan nama keluarga ibunya yang dipilih sebagai nama industri serta label fesyennya.

Pemilik nama sebenar, Nur Alia Natasha Yahaya yang berasal dari Pulau Pinang itu juga ternyata mengekspresikan kecintaannya terhadap dunia fesyen berkat daripada keluarganya.

"Wanita dalam keluarga saya semuanya suka bergaya dan berpakaian kemas.

"Ibu dan nenek saya juga sangat menitikberatkan pemilihan pakaian, walaupun sekadar ke pasar," jelasnya.

Berkongsi tentang jenamanya, Nkhan, Natasha berkata, ia diasaskan atas nilai kelestarian, penceritaan dan kesedaran budaya.

"Karya saya membawa semangat 'Malaysia' iaitu sifat rendah hati, daya tahan dan pemberontakan yang halus melalui upcycling, eksperimen tekstil dan siluet yang menghormati masa lalu sambil melangkah ke masa depan," ujarnya.

Natasha mengambil berat tentang nuansa budaya dan kesan alam sekitar daripada setiap bahan yang digunakan. — The Star

Dua peranan, satu tujuan

Menurut Natasha, kerjaya sebagai pendidik bermula tanpa dirancang sejurus tamat pengajian dalam bidang fesyen.

"Ia satu panggilan yang tidak dijangka, tetapi berkembang secara semula jadi.

"Reka bentuk memberi saya ruang ekspresi, manakala mengajar memberi saya tujuan," tambahnya.

Pengalaman mengharungi cabaran sebagai pereka fesyen juga banyak membentuk cara beliau membimbing pelajar, terutama dalam menekankan kepentingan proses berbanding kesempurnaan.

"Kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan. Ia membina ketahanan dan keberanian.

"Saya selalu ingatkan pelajar supaya bertanya 'mengapa' mereka mencipta. Kerana tanpa niat, reka bentuk akan menjadi kosong," katanya.

Realiti industri, tekanan global

Natasha mengakui dunia sebenar sebagai pendidik bukanlah melihat bakat semata.

Jenama NKhan yang kini mula dikenali dalam penggiat industri fesyen tempatan. — The Star

"Konsistensi, kerendahan hati dan kebolehsuaian sangat penting.

"Industri ini juga menuntut kekuatan mental, sesuatu yang jarang dibincangkan dalam buku teks," jelasnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan untuk menjadi individu 'global' dalam kalangan pereka tempatan.

"Apabila terlalu mengejar pasaran global, ada yang kehilangan kejujuran budaya dan keunikan tempatan.

"Dunia tidak perlukan fesyen yang seragam, tetapi suara yang berakar pada identiti sendiri," katanya.

Media sosial, generasi baharu

Ulasnya lagi, media sosial secara tidak langsung mengubah definisi kejayaan dalam kalangan pereka muda, khususnya Generasi Z.

"Kejayaan kelihatan terlalu segera. Tular sering disalah anggap sebagai satu nilai.

"Saya selalu ingatkan pelajar bahawa hasil kraf mereka mesti bertahan lebih lama daripada algoritma," pesannya.

Membayangkan landskap fesyen Malaysia 10 tahun akan datang, Natasha berharap pengaruhnya dapat dilihat melalui cara berfikir dalam kalangan generasi baharu.

"Saya mahu melihat pereka yang berani bereksperimen, mencipta dengan tujuan dan memahami budaya sebagai naratif, bukan hiasan.

"Jika fesyen Malaysia menjadi lebih bertanggungjawab, berakar dan bermakna serta lahir dari bilik kuliah atau koleksi saya, maka saya telah melaksanakan tanggungjawab saya," ungkapnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram