MEMBAWA kanak-kanak ke masjid atau surau kini dilihat semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Meskipun isu jemaah terganggu dengan kehadiran kanak-kanak bermain bukanlah perkara baharu, namun ia kembali perbincangan hangat di media sosial.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan dan dilema ibu bapa untuk mempunyai keseimbangan antara mendidik anak dan menjaga ketenangan jemaah lain.
BACA LAGI: Bukan gimik! Pasangan mempelai tampil kelainan, 'dress up' busana karakter ikonik anime Demon Slayer
BACA LAGI: 'Nak sangat putih', wanita kesal kerap makan suplemen kecantikan kini 'suspek' kanser rahim

Keperluan membawa anak ke surau atau masjid perlu mengikut kesesuaian lokasi dan masa. — Gambar hiasan
Susulan itu, pemilik akaun Threads @nurulazzura_ tampil berkongsi pandangannya dengan mengajak orang ramai untuk mencari titik tengah yang adil dan berhemah.
Sebagai ibu merangkap bakal ahli psikologi perkembangan, beliau memahami kebimbangan terhadap kanak-kanak yang bising dan berpotensi mengganggu tumpuan jemaah, khususnya golongan berusia.
Mengimbau pengalamannya, beliau mengakui bukan mudah untuk menyesuaikan anak kecil yang aktif ketika di dalam masjid.
"Saya ingat lagi masa bawa anak pada bulan Ramadan, saya tak tenang solat sebab anak keluar masuk berlari, hampir pijak cermin mata jemaah lain, tarik telekung orang dan nyaring sangat suaranya hingga mengganggu jemaah terutama yang berusia.
"Kemudian, saya perlahan-lahan kurangkan bawa anak ke surau atau masjid selepas baca laman sesawang Pejabat Mufti yang menyatakan anak umur bawah 6 tahun makruh dibawa bersama jika dikhuatiri mengganggu jemaah.
"Kalau anak sejenis yang tenang dan memang duduk sebelah kita sahaja tak mengapa.
"Tetapi, jenis yang lasak, kita perlu lebih peka dan jangan biarkan anak ganggu orang lain," jelasnya.

Ibu bapa disarankan untuk lebih peka apabila membawa anak yang lasak ke tempat awam. — Gambar hiasan
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, wanita dianjurkan untuk mengutamakan solat di rumah tanpa bermaksud melarang ke masjid.
Bagi Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, beliau merancang untuk mewujudkan ruang ibadah khas di rumah, namun tetap terbuka untuk ke masjid yang mesra kanak-kanak.
Katanya, perkara tersebut memerlukan proses dan pengorbanan buat ibu bapa sehingga anak mencapai usia mumayyiz.
Mengulas lanjut, penceramah bebas, Mohd Masri Mohd Ramli turut menjelaskan bahawa pemilihan surau atau masjid memainkan peranan penting.
Menurutnya, masjid besar biasanya lebih sesuai kerana ruang luas dapat mengurangkan risiko gangguan terhadap jemaah yang sedang solat.
"Jika surau kecil, memang sukarlah sebab sempit, di situlah orang nak solat dan duduk," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
