TINDAKANNYA kecil, tetapi cukup memberi senyuman penuh bahagia kepada yang memerlukan.
Begitulah sikap seorang pemilik sebuah premis di New York, Amerika Syarikat (AS) yang berjaya mencuri perhatian ramai.
Tampil dengan inisiatif unik, Wail Alselwi sentiasa menawarkan ganjaran kepada para pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan diperolehi mereka.
BACA LAGI: Demi pelajar rasa lebih selamat, guru ubah suai bilik kaunseling konsep 'feels like home'
Ganjaran tersebut bagi menghargai usaha pelajar yang datang ke premisnya.
Pemilik bersama merangkap Pengurus Zack’s Finest Deli & Grocery itu ternyata sudah memulakan langkah tersebut sejak 2023.
Berdasarkan laporan agensi, pelajar yang memperoleh purata markah antara 80 hingga 90 peratus dibenarkan mengambil apa sahaja barangan dari kedainya secara percuma.
Manakala, mereka yang mencatat keputusan antara 70 hingga 80 peratus menerima barangan bernilai AS$10 (RM40).
Tidak hanya tertumpu kepada keputusan cemerlang, Alselwi turut memberi ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi, kehadiran penuh ke sekolah atau terpilih sebagai pelajar terbaik.
Bagi pelajar yang memperoleh markah 90 peratus ke atas pula, ganjarannya lebih istimewa iaitu diberi pilihan mengambil pelbagai produk jualan, wang tunai AS$100 (RM400) serta sehelai kemeja-T.
"Saya suka melihat senyuman di wajah mereka. Ia benar-benar menggembirakan saya," katanya.
Usaha kecil itu turut meraih pujian ramai apabila ia dikongsikan menerusi hantaran video di laman Instagramnya.
"Selepas itu, ramai pelajar mula datang menunjukkan kad laporan mereka kepada saya," katanya sambil menambah bahawa ada yang sanggup datang dari jauh untuk turut serta dalam inisiatif berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
