Setia sampai 5 tahun, pekerja syarikat automotif ganti bonus 'cash' dengan unit pangsapuri


  • Maya
  • Isnin, 19 Jan 2026

Pekerja yang berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun diberikan ganjaran berupa rumah pangsapuri. — Agensi

SEBUAH syarikat automotif di Wenzhou, China menggemparkan orang ramai selepas dilaporkan menggantikan bonus tunai dengan ganjaran berupa pangsapuri milik penuh kepada pekerjanya.

Berdasarkan laporan agensi, inisiatif Zhejiang Guosheng Automotive Technology Co. Ltd. diberikan kepada pekerja yang kekal berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Syarikat yang mengkhusus dalam pengeluaran komponen pengikat automotif itu juga dikatakan mempunyai lebih 450 pekerja dengan nilai pengeluaran mencecah 490 juta yuan (RM285 juta) sepanjang 2024.

BACA LAGI: Tunggu capai usia mumayyiz, pilih masjid lebih besar elak anak 'buas' ganggu jemaah solat

BACA LAGI: 'Nak sangat putih', wanita kesal kerap makan suplemen kecantikan kini 'suspek' kanser rahim

Sebanyak 18 unit rumah pangsapuri dibeli oleh syarikat berkenaan untuk dihadiahkan kepada pekerja terpilih. — Agensi

Pengurus besar syarikat tersebut, Wang Jiayuan berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi menghargai pekerja yang berkemahiran tinggi.

"Memandangkan Wenzhou merupakan bandar yang dihuni ramai pekerja migran.

"Tahun ini (2025) kami telah mengagihkan lima unit rumah.

"Tahun depan (2026),kami akan berikan lagi lapan unit dan menjadikan keseluruhannya sebanyak 18 unit dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Menurutnya, semua pangsapuri terletak dalam lingkungan lima kilometer dari syarikat dengan keluasan antara 100 hingga 150 meter persegi.

Harga pasaran rumah terpakai di kawasan tersebut juga dianggarkan sekitar 7,000 (RM4,000) hingga 8,500 (RM4,944) yuan bagi setiap meter persegi.

Antara penerima terawal ialah sepasang suami isteri yang kedua-duanya bekerja di syarikat sama menerima sebuah unit seluas 144 meter persegi.

Beliau menambah, pekerja yang layak perlu menandatangani perjanjian perumahan dan dibenarkan menduduki rumah selepas kerja pengubahsuaian selesai.

Pemilikan penuh hanya dipindahkan selepas mereka melengkapkan tempoh perkhidmatan lima tahun dengan kos ubah suai perlu dibayar semula kepada syarikat.

Setakat ini, syarikat berkenaan telah melabur lebih 10 juta yuan (RM5 juta) untuk membeli kesemua 18 unit rumah tersebut.

Daripada lima rumah yang diagihkan pada 2025, dua diberikan kepada pekerja yang bermula dari jawatan bawahan sebelum dinaikkan ke peringkat pengurusan.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa jawatan ditawarkan memerlukan kemahiran dan pengalaman tinggi serta tidak boleh dikuasai oleh graduan baharu dalam tempoh singkat.

Antara pekerja yang sudah menerima ganjaran rumah pangsapuri. — Agensi

"Inisiatif ini untuk membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kualiti pengurusan.

"Jika pekerja dapat menjimatkan syarikat sehingga sejuta yuan (RM500,000) setahun, itu satu pelaburan yang berbaloi," jelasnya.

Pemerhati industri turut berpendapat, model ganjaran sedemikian bagaimanapun tidak sesuai dilakukan kepada semua sektor.

Namun, ia tetap mencerminkan bagaimana syarikat di China kini bereksperimen dengan faedah bukan konvensional bagi menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan kesetiaan pekerja dalam pasaran buruh yang semakin kompetitif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram