[VIDEO] Raja Permaisuri Agong berkenan ambil budak hidap sindrom 'Werewolf' di Sarawak sebagai anak angkat


  • Tular
  • Rabu, 01 Nov 2023

Missclyen Anak Roland (kiri) menghidap 'congenital generalised hypertrichosis' (CGH) atau lazimnya dipanggil sindrom 'Werewolf'.

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengambil kanak-kanak menghidap sindrom 'congenital generalised hypertrichosis' (CGH), Missclyen Anak Roland sebagai anak angkat.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita menerusi laman Facebook pada Rabu yang memuat naik gambar surat istana bertarikh 10 Oktober 2023, berhubung perkara tersebut.

"Waba' dah Ehwal Beta berhasrat untuk mengambil Missclyen sebagai anak angkat. Dalam hubungan ini, Beta akan memberikan perbelanjaan melalui Tuan sebagai penjaga bagi penggunaan persekolahan Missclyen.

"Selain itu juga Beta akan menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit Hypertrichosis atau Sindrom Werewolf yang dihadapinya.

"Beta berharap dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban Tuan dan pacai pondok dalam menjaga dan membesarkan Missclyen," tulis kenyataan dalam surat berkenaan.

SURATT

Surat istana yang dikongsikan di laman Facebook. — Facebook/Kak Na

Sementara itu, wanita yang dikenali sebagai Kak Na itu turut menzahirkan rasa syukur dan gembira atas rezeki yang diperoleh Missclyen.

"Cukup bertuah kau dik (Missclyen). Semoga semuanya berjalan dengan lancar.

"Nanti lama la kita tak bersama kalau awak dah dibawa orang ke sana, air mata ini tak berhenti mengalir sebab terlalu gembira," tulisnya menerusi hantaran berkenaan.

Terdahulu, hasrat seorang bapa yang ingin menemukan anak istimewanya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tercapai apabila pasangan diraja itu mencemar duli di Kampung Penan Muslim, Bintulu sempena Kembara Kenali Borneo di Sarawak baru-baru ini.

Dalam rakaman video dimuat naik di laman media, Roland dilihat berjaya membawa anaknya berjumpa dengan pasangan berkenaan dan baginda berdua turut menitipkan pesan kepadanya untuk menjaga anak itu dengan sebaiknya.

"Jaga baik-baik ya, anak syurga ni, buat pemeriksaan doktor," titah Al-Sultan Abdullah ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram