MENGIRA menggunakan jari di sekolah rendah bukan tanda kelemahan, sebaliknya merupakan satu alat penting dalam pembelajaran matematik, lapor kajian oleh penyelidik di Switzerland yang diterbitkan dalam jurnal Developmental Psychology.
Kajian itu mendapati kanak-kanak lebih mudah memahami aritmetik (pengiraan asas) apabila mereka menggunakan tangan.
Ibu bapa dan guru tidak seharusnya menghalang kanak-kanak daripada mengira menggunakan jari, kata penulis kajian, Catherine Thevenot dari Universiti Lausanne.
BACA LAGI: Apa terjadi bila 'stop' ambil gula tambahan selama 14 hari? Ini perubahan tak disangka
"Kanak-kanak tidak sepatutnya berasa malu menggunakan jari mereka. Sebaliknya, mereka perlu berasa bangga kerana ia membantu menyelesaikan pengiraan," katanya.
Tahun lalu, Catherine turut menerbitkan kajian melibatkan kanak-kanak prasekolah yang menunjukkan prestasi matematik mereka boleh dipertingkat jika diajar mengira menggunakan jari.
Sebelum ini, beberapa kajian mencadangkan, kanak-kanak berusia sekitar tujuh tahun yang tidak lagi menggunakan jari menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mereka yang masih bergantung kepada kaedah tersebut.
Bagi memahami perkara tersebut dengan lebih mendalam, Catherine bersama rakan penyelidiknya, Marie Krenger, menjalankan kajian lanjutan.
Mereka menjejaki perkembangan jangka panjang kira-kira 200 kanak-kanak di Switzerland berusia antara empat setengah hingga tujuh setengah tahun.
Dalam kajian berkenaan, kanak-kanak tidak diajar secara khusus untuk mengira menggunakan jari, sebaliknya diperhatikan ketika melakukan operasi tambah secara berkala.
Hasil kajian menunjukkan, kanak-kanak yang mula menggunakan jari lebih awal berpotensi menjadi antara yang terbaik dalam pengiraan pada peringkat seterusnya.
Sebaliknya, kanak-kanak yang langsung tidak pernah mengira menggunakan jari sepanjang tempoh kajian menunjukkan prestasi paling lemah.
Menurut penulis kajian, kanak-kanak yang tidak lagi menggunakan jari sekitar usia tujuh tahun sebenarnya telah melalui fasa mengira menggunakan tangan sebelum beralih kepada pengiraan secara mental.
Bekas pengguna kaedah mengira menggunakan jari didapati mengatasi prestasi kanak-kanak yang tidak pernah menggunakan jari, serta mereka yang terus bergantung kepada kaedah tersebut.
Catherine berkata, jika kanak-kanak berusia lebih lapan tahun masih memerlukan jari untuk mengira, ia mungkin menandakan wujudnya kesukaran pembelajaran.
Namun begitu, mereka tidak wajar dimarahi kerana penggunaan jari berkemungkinan membantu mereka mencapai tahap perkembangan seterusnya, cuma sedikit lewat berbanding rakan sebaya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
