'Mak ulang tanya soalan sama', ibu hidap Alzheimer, Hatta Dolmat titip pesanan buat anak bujang di perantauan


  • Bonda
  • Selasa, 13 Jan 2026

Pendedahan Hatta Dolmat tentang keadaan ibunya yang kini menghidap Alzheimer.

PEREKA fesyen terkenal, Hatta Dolmat baru-baru ini mendedahkan situasi apabila ibunya disahkan menghidap Alzheimer.

Menerusi hantaran dimuat naik di Threads, perubahan itu mula disedari apabila melihat tingkah laku ibunya yang kerap mengulang soalan sama meskipun sudah dijawab beberapa kali.

"Mak saya bukan di tahap yang teruk, cuma akan ulang tanya soalan sama dalam situasi yang baru berlaku.

"Contohnya, kalau dia suruh makan, dan saya dah makan. Tetapi, dia akan tanya dan suruh makan lagi.

"Kalau saya cakap dah, dia tanya bila masa saya makan. Perkara begini saya perasan berlaku sejak 2023 bila saya pulang ke kampung," katanya.

BACA LAGI: 'Janji dulu baru jalan-jalan', ibu kongsi tip 'travel' DIY berdua dengan anak kecil

BACA LAGI: Banyak hati, lisan, tingkah perlu jaga, wanita kongsi 'ujian' sebenar tunai umrah dengan ibu

Sarung bantal yang dikait oleh ibu masih digunakan sehingga kini. — Threads/Hatta Dolmat

Sebagai anak, perasaan sedih dan takut tidak dapat dielakkan apabila memikirkan kemungkinan ibunya tidak lagi boleh mengenali anak-anaknya sendiri.

Pun begitu, beliau dan ahli keluarga lain mengambil pendekatan dengan mengisi masa ibunya dengan pelbagai aktiviti yang digemarinya.

Ia termasuk aktiviti santai seperti mengait, menulis dan berkebun.

"Saya nak sarung bantal, dia siapkan dua dan sangat cantik. Saya minta pula dia tulis resepi makanan kegemaran saya.

"Saya cakap nak belajar masak tetapi sebenarnya nak dia sentiasa menulis.

"Saya pandai melukis pun sebab mak dan ayah sokong. Tetapi, faktor umur dan situasi mak sihat tetapi tak seperti dahulu," luahnya.

Lebih menyentuh hati apabila ibunya tetap berusaha untuk memasak dan menyediakan bekal makanan setiap kali Hatta atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat kembali ke Kuala Lumpur.

"Bisanya saya memang tak akan tolak bekal atau lauk-lauk ringkas mak masak.

"Sampai satu hari, dia masak dan saya makan sebelum balik. Saya rasa rendangnya dah tak seperti dahulu.

"Masa itu saya tahu, mak dah tak boleh masak, tetapi dia tetap nak tunjuk sesuatu untuk anaknya," ceritanya.

Meskipun sedih, Hatta tidak sesekali menyesal kerana tidak pernah menolak bekalan yang disediakan ibunya sebelum ini.

Baginya, tiada siapa tahu bila kali terakhir dapat menikmati masakan dan air tangan seorang ibu.

Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan buat orang ramai terutama golongan bujang yang menetap jauh daripada ibu bapa agar tidak berkira dengan masa dan perhatian.

"Mungkin saya kesal sebab tak belajar masak daripadanya. Jadi, anak-anak bujang yang jauh dari keluarga, kalau mereka bagi bekal yang dimasak ambil sahaja.

"Kalau tiada perkara penting di luar, luangkanlah masa dengan ibu bapa," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram