SEORANG ibu muda dari komuniti perkampungan di India melakar sejarah apabila berjaya lulus peperiksaan Hakim Sivil Tamil Nadu dua hari selepas melahirkan anak.
Sripathi yang berasal dari Kampung Puliyur, Tamil Nadu, sekali gus dilantik sebagai hakim wanita pertama di negeri tersebut pada awal 2024.
Pada usianya baru 23 tahun ketika itu, beliau berjaya melepasi peperiksaan Hakim Sivil anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tamil Nadu (TNPSC) yang diadakan di Chennai pada November 2023.
BACA LAGI: Banyak hati, lisan, tingkah perlu jaga, wanita kongsi 'ujian' sebenar tunai umrah dengan ibu

Sripathi berjaya melepasi ujian tersebut dua hari selepas melahirkan cahaya mata pertamanya. — Agensi
Kisahnya turut menjadi bualan ramai bukan sahaja kerana kejayaannya dalam peperiksaan yang mencabar, malah disebabkan status dirinya yang baru sahaja bergelar ibu.
Ketabahan dan keazaman beliau pada masa sama meraih pujian meluas, termasuk daripada Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin.
Sripathi menerima pendidikan awalnya di kawasan pergunungan Yelagiri Hills sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Sarjana Muda Sastera (BA) dan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB).
Latar belakangnya yang sederhana juga tidak sesekali menghalang beliau daripada terus mencapai impian untuk berkhidmat dalam bidang undang-undang.
Kejayaan Sripathi kemudiannya diraikan oleh seluruh penduduk kampungnya dengan satu majlis sambutan meriah sebagai tanda kebanggaan terhadap pencapaiannya.
Dalam satu kenyataan, M.K. Stalin menyifatkan pencapaian Sripathi sebagai bukti kejayaan dasar kerajaan negeri tersebut.
"Saya amat gembira melihat seorang wanita muda di sebuah kampung pergunungan yang serba kekurangan mampu mencapai tahap ini," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan Sripathi sebagai hakim adalah hasil dasar kerajaan ‘Model Dravidian’ yang memberi keutamaan kepada pelajar aliran bahasa Tamil dalam jawatan perkhidmatan awam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
