BUKANLAH sekadar memenuhi tuntutan agama, ibadah umrah turut menjadi medan untuk menguji kesabaran, keikhlasan dan tanggungjawab seseorang.
Berdasarkan kisah dikongsikan pengguna akaun Threads @noorlyana_atira, pengalaman menunaikan ibadah umrah bersama ibu tercinta di Tanah Suci baru-baru ini ternyata memberi banyak pengajaran buatnya.
Baginya, ia juga banyak mengajar tentang cabaran sebenar dihadapi seorang anak, khususnya dalam menjaga amanah ALLAH.
BACA LAGI: Diputus tunang tanpa sebab, wanita tak diam diri, hantar LOD tuntut jalan penyelesaian
Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang berada di Makkah dan Madinah bukanlah dari sudut pelaksanaan ibadah semata-mata.
"Ujian menunaikan ibadah lebih kepada ujian untuk menjaga amanah ALLAH yang fizikalnya tidak segagah dahulu dan emosinya tidak sekental dahulu (Mak).
"Bila buat umrah bersama orang tua terutama bersama ibu ayah kita, banyak hati, pertuturan dan tingkah laku yang perlu dijaga," katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika berdepan kesukaran menguruskan pergerakan ibunya dalam kawasan sesak dan dipenuhi dengan jemaah lain.
Katanya, saiz fizikal jemaah dari pelbagai negara yang lebih besar dan tinggi berbanding rakyat Malaysia turut menambah lagi cabaran untuk memastikan keselamatan ibunya.
Selain cabaran fizikal, Noorlyana mengakui aspek emosi sebagai anak turut diuji. Katanya, kebimbangan ibunya terhadap pandangan orang lain kadangkala menyebabkan beliau terpaksa mengikut kehendak ibunya walaupun mengetahui keadaan kesihatan ibu tidak mengizinkan.
"Bila minta pegang tangan, tak mahu. Katanya susah jalan sebelah-sebelah.
"Kita tukar rancangan, jalan depan belakang. Tetapi dengan syarat wajib pegang beg belakang.
"Sekurang-kurangnya boleh tahu mak masih di belakang, tetapi kadang-kadang masih terlepas," jelasnya.
Bukan itu sahaja, pengurusan emosi turut menjadi antara cabaran buatnya sepanjang menunaikan ibadah tersebut.
Kesabarannya juga amat diperlukan dalam menangani kebimbangan ibunya terhadap pandangan orang sekeliling.
"Bukan emosi mak, tetapi kita sebagai anak. Kadangkala, mereka ini terlalu takut dengan tanggapan 'nanti orang cakap apa'.
"Contohnya, kita tahu mak tak larat nak berjalan ke masjid, naik tangga, tunggu atau berebut dalam lif.
"Jadi, sebagai anak, kita nasihatkan untuk solat dalam bilik dahulu, kalau dah cukup rehat baru ke masjid.
"Tetapi, mereka risau dan takut jemaah lain cakap rugi dah sampai tetapi tak solat di masjid," kongsinya.
Disebabkan bimbang sekiranya bantahan atau paksaan menjejaskan emosi, beliau tetap akur dengan situasi tersebut.
"Akhirnya, saya hanya ikut dan teman mak ke masjid. Kalau mak mengadu sakit kaki, kita senyum sambil hati istighfar," tambahnya.
Noorlyana bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang dan kesempatan menunaikan umrah bersama ibunda tercinta.
"Tidak semua orang ada peluang dapat mengerjakan umrah bersama mak ayah.
"Dalam perjalanan umrah ini jugalah kita sebagai anak dapat tengok air mata seorang wanita yang luarannya nampak kuat dan keras, rupanya hatinya sangat lembut dan rapuh bila di sana.
"Jadi, ini juga ujian sebenar untuk ladang pahala seorang anak, Insya-ALLAH," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
