'Bukan asal lulus atau ikut kawan', bapa latih anak model ‘GROW’, pilih hala tuju lepas SPM 2026


  • Bonda
  • Isnin, 12 Jan 2026

Perbincangan yang tenang antara ibu atau bapa dengan anak mampu menjadi pendekatan lebih berkesan. — Gambar hiasan

PENDEKATAN ibu bapa dalam mendidik anak menghadapi peperiksaan penting sememangnya memainkan peranan penting dalam memilih hala tuju dalam hidup.

Seperti yang dikongsikan seorang warga Threads menerusi akaun @hafizbai, kaedah bimbingan atau coaching ringkas mampu membantu anak menetapkan sasaran.

Ia termasuk hasrat diimpikan ketika menghadapi peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

BACA LAGI: 'Janji dulu baru jalan-jalan', ibu kongsi tip 'travel' DIY berdua dengan anak kecil

BACA LAGI: Tuah suami isteri tebus 'insurans cinta' RM5,000, tak sengaja beli ketika 'dating' zaman universiti

Kaedah yang dikongsikan bagi membantu anak menghadapi peperiksaan penting seperti SPM. — Gambar hiasan/AI

Sebagai bapa, beliau turut menggunakan pendekatan berasaskan model 'GROW' bagi membantu anaknya menetapkan hala tuju SPM 2026.

Menurutnya, sesi yang dijalankan bukanlah dalam bentuk ceramah, paksaan atau perbandingan dengan anak orang lain.

Sebaliknya, satu perbincangan tenang dan tertutup yang memfokuskan kepada kesedaran diri serta tanggungjawab anak terhadap masa depannya sendiri.

"Kami mula dengan huruf pertama iaitu G (goal). Saya tak beri nasihat, tidak letak sasaran versi saya. 

"Tetapi, saya tanya satu soalan sahaja 'apa sebenarnya sasaran SPM yang kamu nak?

"Biar dia sendiri sebut dan pilih. Bukan 'asal lulus' atau 'ikut kawan. Tetapi goal terbaik yang dia percaya mampu capai," jelasnya.

Matlamat tersebut kemudiannya diperincikan agar lebih spesifik, boleh diukur, realistik dan mempunyai tempoh masa yang jelas.

Masuk ke fasa reality, beliau membawa anaknya melihat kedudukan sebenar prestasi semasa.

Ia termasuk tahap kefahaman subjek dan cabaran yang dihadapi.

Perbincangan itu dilakukan tanpa menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mengenal pasti jurang antara realiti semasa dan sasaran SPM 2026.

"Kami bincang cabaran sebenar. Dalaman, cepat penat, susah fokus dan kesihatan.

"Cabaran aspek luaran pula melibatkan persekitaran, gangguan dan perkara di luar kawalan.

"Ini bukan untuk menyalahkan tetapi, untuk faham punca," ujarnya.

Bagi fasa options, beliau memilih untuk tidak memberi jawapan secara terus.

Anaknya diminta menyenaraikan sendiri pelbagai pilihan dan strategi yang boleh dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut, termasuk perubahan rutin belajar, mendapatkan bantuan, mengurangkan gangguan dan meninggalkan perkara tidak menyumbang kepada kejayaan akademik.

"Akhir sekali, W (will) dan way forward. Inilah saatnya dia buat keputusan.

"Kami imbas semua pilihan tadi dan dia pilih apa yang dia sanggup lakukan.

"Bukan janji kosong, tetapi tindakan yang dia rela buat," lanjutnya.

Sesi tersebut juga ditutup dengan satu soalan reflektif tentang individu paling gembira sekiranya matlamat tersebut berjaya dicapai.

Ia sekali gus membantu anak untuk mendapatkan ‘sebab’ yang lebih besar daripada sekadar keputusan peperiksaan.

Perkongsian itu juga bukan sahaja bertujuan menonjolkan kesempurnaan dirinya sebagai ibu bapa.

Namun, ia menjadi peringatan bahawa ibu bapa boleh menjadi coach pertama anak-anak dalam menentukan masa depan yang lebih cerah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram