SEORANG pemuda berusia 26 tahun di sini berputih mata selepas kerugian lebih Rs 1.5 lakh (kira-kira RM8,000) akibat diperdaya sindiket penipuan yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menerusi aplikasi temu janji.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, profil wanita yang digunakan dalam aplikasi tersebut adalah palsu dan dicipta sepenuhnya menggunakan teknologi AI bagi menjerat mangsa.
Mangsa yang merupakan seorang kakitangan syarikat swasta dan menetap di Ejipura, telah membuat laporan rasmi di Balai Polis Jenayah Siber (CEN), Cawangan Jenayah Pusat.
BACA LAGI: Sangka gadis umur 20-an, anggota tentera pucat kekasih rupanya murid darjah 6
BACA LAGI: Musim perayaan ramai pilih menyendiri, jiwa dibelenggu kesunyian, ini penjelasan pakar
Menurut kenyataan aduan, mangsa mula mendaftarkan akaun di sebuah aplikasi janji temu pada 5 Januari lalu sebelum menerima permintaan perkenalan daripada seorang individu yang menyamar sebagai wanita bernama ‘Ishani’.
Kedua-duanya mula berbalas mesej dan berkongsi butiran peribadi sebelum bertukar nombor telefon bagi meneruskan perbualan secara lebih peribadi menerusi aplikasi WhatsApp.
Beberapa hari kemudian, suspek memulakan panggilan video dan muncul dalam keadaan berbogel sebelum mendesak mangsa untuk melakukan perkara yang sama.
Mangsa yang tidak menyedari helah tersebut menuruti permintaan berkenaan tanpa mengetahui bahawa suspek sedang merakam aksi ghairah tersebut secara rahsia.
Sejurus selepas panggilan ditamatkan, suspek menghantar klip video tersebut kepada mangsa dan mula mengugut untuk menyebarkannya kepada ahli keluarga, rakan-rakan, serta di platform media sosial.
Bimbang akan maruah dirinya terjejas, mangsa pada mulanya akur dan melakukan transaksi pertama sebanyak Rs 60,000 (kira-kira RM3,100) ke akaun bank yang diberikan oleh suspek.
Bagaimanapun, sindiket tersebut terus mendesak dan mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah Rs 93,000 (kira-kira RM4,800) kerana bimbang diugut secara berterusan.
Mangsa akhirnya memutuskan untuk tampil membuat laporan polis selepas menyedari permintaan wang tersebut tidak akan berakhir dan dia terus diperas ugut.
Pihak penyiasat percaya bahawa imej wanita berbogel yang dilihat semasa panggilan video itu bukanlah manusia sebenar, sebaliknya merupakan visual yang dijana menggunakan teknologi AI.
Pihak polis kini telah mendaftarkan kes tersebut di bawah akta berkaitan dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti serta menjejak dalang di sebalik jenayah siber ini.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika menggunakan aplikasi janji temu dan tidak mudah terpedaya dengan profil individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa pemerasan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
