MEMULAKAN fasa perkenalan dan jani temu sering kali menimbulkan pelbagai persoalan serta kegusaran bagi kebanyakan individu.
Pakar perhubungan dan pengasas A Little Nudge, Erika Ettin, berkongsi pandangan mengenai beberapa situasi lazim yang dihadapi dalam dunia janji temu.
Salah satu persoalan yang kerap dibangkitkan adalah mengenai jurang ketinggian, yang mana wanita berasa bimbang jika pasangan mereka lebih rendah.
BACA LAGI: Sangka gadis umur 20-an, anggota tentera pucat kekasih rupanya murid darjah 6
BACA LAGI: Musim perayaan ramai pilih menyendiri, jiwa dibelenggu kesunyian, ini penjelasan pakar
Menurut Ettin, isu itu berbalik kepada pendirian individu sama ada mereka mampu menerima hakikat tersebut atau sebaliknya.
"Fikirkan mengapa perkara ini mengganggu anda. Adakah disebabkan norma masyarakat? Orang ramai akan sentiasa mencari ruang untuk menghakimi, maka lebih baik anda mengejar kebahagiaan sendiri," katanya.
Tegas beliau, ketinggian tidak menentukan sifat maskulin atau kemampuan seseorang untuk melindungi, sebaliknya ia hanyalah faktor genetik semata-mata.
Status hubungan "Apa status kita?"
Mengenai isu pasangan yang masih belum menetapkan status hubungan selepas tujuh bulan bertemu, Ettin menyarankan agar perbincangan jujur segera dilakukan.
Beliau menegaskan bahawa rasa takut terhadap penolakan tidak seharusnya menjadi penghalang.
"Sebelum bertanya 'apa status kita?', anda perlu menetapkan matlamat sendiri terlebih dahulu. Adakah anda mahukan hubungan eksklusif? Jangan biarkan masa depan perhubungan anda ditentukan sepenuhnya oleh pihak lain," ujar beliau.
Fenomena 'ghosting' mutual
Ettin turut mengulas mengenai situasi yang mana kedua-dua pihak terus mendiamkan diri selepas janji temu pertama.
Menurut beliau, tindakan tersebut tidak dikategorikan sebagai ghosting sekiranya kedua-dua pihak memang tidak berminat untuk meneruskan komunikasi.
"Kesunyian antara dua pihak tanpa sebarang tindakan susulan hanyalah petanda ketiadaan minat yang saling dipersetujui. Namun, jika seseorang telah menghantar pesanan dan tidak dibalas, itu barulah dianggap sebagai perbuatan yang tidak beretika," jelas beliau.
Mengurus kebimbangan awal
Bagi mereka yang berasa cemas tentang masa depan hubungan yang baru bermula, Ettin memperkenalkan konsep Nato (tidak terikat kepada hasil).
Beliau menasihati agar pasangan menikmati proses perkenalan tanpa terlalu memikirkan pengakhiran hubungan tersebut.
"Tiada siapa yang mempunyai 'bola kristal' untuk meramal masa depan. Terima hakikat bahawa sesuatu hubungan mungkin tidak menjadi seperti yang diharapkan, dan anda akan tetap tenang menghadapinya," tambah beliau.
Fokus fakta
Beliau menyarankan agar individu fokus kepada fakta semasa, iaitu jika janji temu berjalan lancar dan masih ada pertemuan seterusnya dalam perancangan, maka keadaan sebenarnya berada dalam kawalan yang baik.
Penerimaan terhadap kemungkinan terburuk dipercayai dapat mengurangkan keresahan, sekali gus membolehkan seseorang menikmati detik-detik indah bersama pasangan dengan lebih bermakna. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
