Sangka gadis umur 20-an, anggota tentera pucat kekasih rupanya murid darjah 6


  • Cinta
  • Isnin, 05 Jan 2026

Penampilan remaja yang berpakaian dewasa dan bermekap tebal sering mengelirukan orang ramai sehingga menyembunyikan usia sebenar mereka yang masih di bawah umur. — Gambar hiasan/AI

TINDAKAN bijak seorang guru wanita berjaya menyelamatkan masa depan murid perempuan dan anggota tentera daripada terjebak dalam kemelut undang-undang selepas mendedahkan identiti sebenar usia pelajar tersebut.

Perkongsian yang tular di Threads itu dikongsikan oleh guru itu sebagai peringatan kepada kaum lelaki agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penampilan luaran remaja perempuan di media sosial yang kini dilihat lebih matang daripada usia sebenar.

Menurut guru tersebut, segalanya bermula apabila beliau melihat hantaran di media sosial mengenai seorang ibu dan anak yang berpakaian sangat cantik. 

BACA LAGI: Musim perayaan ramai pilih menyendiri, jiwa dibelenggu kesunyian, ini penjelasan pakar

BACA LAGI: Suami halang 2 'transgender' masuk tandas wanita demi keselamatan isteri

Namun, terkejut apabila mendapati anak tersebut sebenarnya masih di bangku sekolah menengah walaupun penampilannya kelihatan seperti wanita berusia 20-an.

Situasi itu mengingatkannya kepada peristiwa yang menimpa anak muridnya sendiri, Rania (bukan nama sebenar).

"Rania seorang yang terbuka bercerita tentang kisah cinta. Dia menunjukkan gambar bersama teman lelakinya merupakan anggota tentera. Apa yang mengejutkan, terdapat gambar mereka bercium di pipi," katanya.

Tanpa pengetahuan Rania, guru berkenaan bertindak mengambil nombor telefon lelaki tersebut yang dikenali sebagai Irfan. 

Ketika muridnya sedang sibuk membuat persembahan di sekolah, guru itu nekad menghubungi Irfan untuk mendedahkan perkara sebenar.

"Irfan pada mulanya menyangka Rania berusia 16 atau 17 tahun. Apabila saya beritahu Rania sebenarnya baru berusia 12 tahun (tahun enam), dia terkejut besar dan suaranya kedengaran sangat kekok.

"Saya tegaskan kepadanya, walaupun suka sama suka, sebarang perbuatan melampaui batas terhadap kanak-kanak bawah umur boleh menyebabkan dia dituduh mencabul atau merogol mengikut akta sedia ada," jelas guru itu lagi.

Menyedari risiko kehilangan kerjaya yang dibina dengan susah payah, Irfan dilaporkan merayu agar perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. 

Lelaki itu mendakwa dia benar-benar tidak tahu usia sebenar Rania kerana penampilan fizikal dan gaya berpakaian murid tersebut nampak sangat dewasa di media sosial.

"Dia anak sulung dan bapanya sedang sakit. Dia merayu kerana bukan mudah untuk dia diterima masuk ke dalam perkhidmatan tentera.

"Saya buat perjanjian dengannya untuk meninggalkan Rania secara berperingkat. Saya juga bertindak memadamkan gambar-gambar tersebut daripada telefon bimbit Rania, namun menyimpannya sebagai bukti sekiranya berlaku perkara tidak diingini pada masa hadapan," ujarnya.

Guru berkenaan menjelaskan bahawa tindakannya 'memutuskan' hubungan itu tanpa pengetahuan Rania adalah langkah terbaik bagi mengelakkan remaja tersebut memberontak jika ditegur secara terus atau diadukan kepada keluarga.

Beberapa bulan kemudian, Rania memaklumkan telah berpisah dengan kekasihnya itu, sekali gus melegakan hati guru terbabit.

Di akhir perkongsiannya, guru tersebut menasihati golongan lelaki agar memeriksa latar belakang wanita yang ingin didekati.

"Budak bawah umur zaman sekarang tidak nampak seperti budak-budak. Tolong selidik umur mereka dahulu. Jauhi maksiat dan elakkan perbuatan bersentuhan selagi belum halal demi masa depan anda sendiri," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram