Tuah suami isteri tebus 'insurans cinta' RM5,000, tak sengaja beli ketika 'dating' zaman universiti


  • Cinta
  • Khamis, 08 Jan 2026

Insurans cinta yang dibeli pasangan tersebut sebelum melangsungkan perkahwinan. — Agensi

SEPASANG suami isteri di Xi’an, China mencuri perhatian ramai selepas berjaya menuntut semula polisi 'insurans cinta' yang dibeli secara tidak sengaja hampir sedekad lalu.

Berdasarkan laporan agensi, kisah itu bermula pada 2016 apabila Wu yang ketika itu masih menuntut sebagai pelajar universiti membeli insurans unik bernilai 199 yuan (RM115) sebagai hadiah kepada teman lelakinya, Wang.

Insurans yang ditawarkan oleh China Life Property & Casualty Insurance itu juga menjanjikan ganjaran sama ada 10,000 kuntum bunga ros atau wang tunai sebanyak 10,000 yuan (RM5,000) sekiranya pasangan tersebut berkahwin dalam tempoh antara tiga hingga 10 tahun.

BACA LAGI: Banyak hati, lisan, tingkah perlu jaga, wanita kongsi 'ujian' sebenar tunai umrah dengan ibu

BACA LAGI: Diputus tunang tanpa sebab, wanita tak diam diri, hantar LOD tuntut jalan penyelesaian

Menurut Wu, tindakan tersebut turut tidak diketahui Wang pada awalnya.

"Dia ingat saya ditipu," katanya sambil menunjukkan insurans berkenaan.

Hubungan mereka ternyata sudah terjalin sejak di bangku sekolah menengah dan berterusan sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan termasuk peperiksaan, latihan industri dan pekerjaan pertama, pasangan itu akhirnya mendaftarkan perkahwinan mereka pada Oktober 2025 selepas 10 tahun bersama.

Selepas bergelar suami isteri, mereka memutuskan untuk menyemak semula sama ada ia masih boleh ditebus.

Meskipun produk berkenaan sudah dihentikan penjualannya pada 2017, pihak China Life Property & Casualty Insurance mengesahkan semua insurans yang dijual sebelum itu kekal sah selagi syarat dipenuhi.

Pasangan berkenaan kemudiannya memilih untuk menuntut ganjaran wang tunai berbanding bunga ros.

"Majlis perkahwinan sudah pun selesai dan saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana hendak menguruskan 10,000 kuntum bunga," katanya.

Wang tunai itu bagaimanapun akan digunakan untuk sesuatu yang bermakna dalam kehidupan mereka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram