SIKAP prihatin dan layanan penuh empati seorang pekerja sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini menyentuh hati ramai.
Menerusi kisah dikongsikan pengguna akaun Threads @nishatan._, pekerja yang hanya dikenali sebagai Qayyum itu bertindak pantas menghulurkan bantuan.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sedang makan malam apabila anaknya secara tiba-tiba muntah di kawasan mejanya.
BACA LAGI: Tampil kelainan, pelawak Indonesia beri saham GOTO sebagai mas kahwin
BACA LAGI: Bukan sekadar mimpi buruk, anak kerap tantrum lepas bangun tidur sebab 'night terrors' — Pakar
Sisa muntah tersebut turut tempias ke seluruh meja dan lantai.
"Anak saya muntah agak banyak juga, tetapi saya lebih tertarik untuk cerita tentang hati dan budi baik staf ini," katanya.
Lebih mengharukan apabila melihat reaksi pekerja berkenaan yang kekal tenang dan membantu membersihkan kawasan tersebut dengan penuh empati.
Timbul rasa bersalah dalam hati, namun apakan daya, dirinya tidak mampu untuk turut membantu disebabkan alahan yang sedang dialami ketika hamil.
"Saya minta maaf banyak kali sebab anak saya muntah dan jadi serba salah.
"Saya pernah bekerja dalam bidang ini, jadi saya faham.
"Respon dia sangat mengagumkan saya sebagai seorang pelanggan.
"Dia jawab 'tak mengapa, kakak jangan risau, ini perkara biasa, anak tak sihatkah?'.
"Saya pun jawab keadaan anak dan ucapkan terima kasih kepadanya," jelasnya.
Wanita tersebut turut menyarankan agar pihak pengurusan menganugerahkan Qayyum sebagai staf terbaik atas mutu perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
