SEORANG pengguna meluahkan rasa kesal terhadap hidangan yang dipesan kerana didakwa tidak seperti yang digambarkan dalam menu.
Menerusi satu hantaran di Threads @atiqahmowari_, pelanggan tersebut berkongsi pengalaman membuat pesanan nasi putih bersama sotong goreng kunyit daripada sebuah kedai ayam penyet di Subang Jaya.
Bagaimanapun, apabila pesanan tiba, dia mendakwa jumlah sotong yang diterima terlalu sedikit dan tidak sepadan dengan gambar yang dipaparkan.
BACA LAGI: Dikritik jual apam bersama sambal, Kueh tampil perjelas asal usul kuih tradisional Negeri Sembilan
BACA LAGI: 'Saya tahu rasanya hidup miskin', Izham Ismail jual snek di sekolah sebelum jadi orang kanan MAS
Keadaan itu membuatkan pelanggan berasa tidak berbaloi, lebih-lebih lagi apabila jumlah bayaran mencecah RM22.15 termasuk kos penghantaran berjumlah RM4.10.
Dalam luahannya, pelanggan tersebut menyatakan rasa kecewa dan kemarahan terhadap peniaga kerana merasakan hidangan yang diterima tidak setimpal dengan harga yang dibayar.
"Kepada pemilik kedai, jangan berniaga kalau macam ini. Aku kalau tak demam, aku keluar je pergi beli tapi aku order di kedai kau, ini yang aku dapat?
"Aku tak halal kan duit aku dekat kedai kau dan aku tak akan makan makanan macam ni. (Sotong) dah macam getah rambut aku tengok," katanya.
Hantaran itu turut mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna Threads lain yang turut sama bersimpati dengan nasib pelanggan terbabit.
Ada yang menyindir hidangan tersebut sebagai 'nasi putih bersama bawang goreng kunyit', manakala seorang lagi pengguna menyarankan agar aduan dibuat terus kepada platform penghantaran makanan atas isu salah representasi menu.
"Kalau begini la cara berniaga, dah kira aniaya orang tau. Mana nak berkatnya duit berniaga itu. Lobak potong ala kadar, bawang sendu tak masak pucat habis, sotong pun alahai tengok sedihnya," komen @azrhazir.
"Dah tak boleh beza mana sotong, mana bawang. Dahlah sotong serupa sotong ring je..entah berapa keping dia letak," tambah _ieraaaa.
Seorang pengguna mendakwa pernah membuat aduan serupa dan menerima bayaran balik penuh kerana makanan yang diterima tidak menepati deskripsi.
Terdapat juga komen yang mempersoalkan penggunaan sotong ring dan harga bahan mentah, sekali gus mempertikaikan margin keuntungan peniaga.
"Dia (peniaga) guna sotong ring je. Harga borong sekilogram baru RM7. Kalau berniaga macam ini, kaya lah," katanya.
Isu tersebut sekali lagi membuka perbincangan dalam kalangan pengguna mengenai ketelusan peniaga dalam memaparkan gambar menu, serta tanggungjawab memastikan hidangan yang dihantar menepati kualiti dan kuantiti seperti yang dijanjikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
