Pasport produk digital, noktah 'greenwashing' industri fesyen di Eropah?


  • Gaya
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Penggunaan kod QR pada label pakaian membolehkan pengguna menyemak rekod kelestarian dan jejak karbon produk secara digital melalui sistem Pasport Produk Digital.

LAMBAKAN produk tekstil di pasaran Eropah bakal berdepan era baharu apabila setiap helaian pakaian dijangka memerlukan 'pasport digital' bagi membuktikan dakwaan mesra alam oleh syarikat fesyen.

Langkah itu dijangka merombak industri fesyen global yang bernilai AS$1.7 trilion (kira-kira RM7.5 trilion) dengan membolehkan pengguna menyemak kredibiliti kelestarian sesebuah jenama hanya melalui imbasan kod QR atau tag elektronik.

Pasport Produk Digital (DPP) itu akan mendedahkan maklumat terperinci merangkumi komposisi bahan, jumlah tenaga, penggunaan air, bahan kimia terlibat, serta rantaian bekalan yang mengambil bahagian dalam setiap tahap pengeluaran.

BACA LAGI: 'Itu harga perlu saya bayar', wanita kantoi ‘kiss cam’ konsert Coldplay, akhirnya 'bersuara' kini dipulaukan

BACA LAGI: Adakah isteri boleh keluarkan wang dari akaun simpanan arwah suami walau tahu PIN 'number'? Ini jawapannya...

Analisis daripada Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen Eropah menunjukkan pembekal tekstil dari Bangladesh, pengeksport pakaian kedua terbesar dunia, mungkin perlu melaksanakan versi pasport itu seawal 2027.

Naib Pengerusi Newage Group of Industries, Asif Ibrahim, menyifatkan DPP sebagai alat utama dalam menyediakan rekod terperinci jejak alam sekitar, bermula dari ladang kapas sehingga ke produk siap, selari dengan permintaan pengguna yang kini mengutamakan ketelusan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kesediaan pengeluar kecil untuk memenuhi piawaian ketat Kesatuan Eropah (EU) yang bertujuan mengekang amalan greenwashing oleh syarikat pembuatan.

Meskipun pengeluar pakaian kini sudah membekalkan timbunan data mengenai standard buruh dan alam sekitar, laporan NGO Greenpeace pada 2023 mendedahkan masih wujud cubaan mengelirukan pengguna melalui dakwaan kitar semula yang tidak tepat.

Bagi mengatasi isu itu, penggunaan teknologi rantaian blok (blockchain) mula diaplikasikan.

Syarikat seperti Aware dari Belanda kini bekerjasama dengan pembekal di Bangladesh untuk merekodkan data secara terperinci bagi menjamin ketulenan maklumat.

Menerusi platform itu, pengeluar akan memasukkan data penting seperti kiraan benang dan penggunaan air sebelum kod QR dijana untuk akses pengguna, sekali gus memberikan hak milik data kepada pihak pengeluar sendiri.

Pihak kilang pencelupan, pencucian dan pemprosesan kapas juga dikehendaki memuat naik sijil berkaitan ke profil digital masing-masing, manakala dakwaan mengenai penggunaan tenaga akan disahkan oleh pihak ketiga.

Namun, cabaran besar menanti kilang-kilang kecil di Bangladesh yang membentuk sebahagian besar daripada 3,320 kilang pakaian eksport di negara tersebut terutama dalam menaik taraf perkakasan, perisian dan pengurusan data.

Syarikat DigiProdPass yang berpangkalan di Britain kini mula menjalankan kajian rintis dan latihan bagi membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan peraturan baharu ini menerusi kerjasama dengan persatuan pengilang tempatan.

Asif menegaskan bahawa sokongan daripada jenama fesyen global serta organisasi pembangunan antarabangsa adalah kritikal bagi membantu pembekal meningkatkan kapasiti mereka, selain insentif daripada kerajaan untuk syarikat yang memulakan inisiatif ini lebih awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram