WANITA yang menjadi tumpuan seluruh dunia selepas aksi mesranya bersama majikan dirakam oleh kamera litar tertutup (kiss cam) sewaktu konsert Coldplay pada Julai lalu, Kristin Cabot, akhirnya tampil bersuara.
Beliau menjelaskan mengenai kesan buruk yang menimpa kehidupan serta keluarganya selepas insiden tersebut.
Cabot, 53, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Jabatan Sumber Manusia (HR) di syarikat Astronomer, mengakui detik tular bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Andy Byron, adalah keputusan buruk yang telah menghancurkan kerjayanya.
BACA LAGI: Jurang purata masa buat kerja rumah antara lelaki, wanita di Tokyo semakin mengecil — Kajian
Video rakaman di Stadium Gillette, Foxborough itu tular di TikTok sehingga memaksa kedua-dua mereka meletak jawatan.
Cabot yang memfailkan perceraian daripada suaminya, Andrew Cabot pada Ogos lalu, menegaskan bahawa beliau dan Byron tidak pernah menjalinkan hubungan fizikal sebelum malam konsert tersebut.
"Saya telah membuat keputusan yang salah. Selepas mengambil beberapa minuman keras, saya menari dan berkelakuan tidak sopan dengan bos.
"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan telah melepaskan kerjaya disebabkan perkara itu. Itulah harga yang perlu saya bayar," katanya dalam satu temu bual bersama The New York Times.
Bercerita mengenai detik tersebut, Cabot menjelaskan beliau berasa sangat terkejut dan malu apabila vokalis Coldplay, Chris Martin, secara berseloroh mengulas aksi mereka di hadapan ribuan penonton.
"Sama ada mereka sedang menjalin hubungan sulit atau mereka sangat malu," gurau Martin ketika itu.
Cabot menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang sangat memalukan, memandangkan kedudukan mereka sebagai pemimpin tertinggi di syarikat tersebut.
Namun, apa yang lebih memilukan adalah kesan terhadap anak-anaknya.
Cabot mendedahkan bahawa beliau menerima pelbagai kecaman dan ancaman bunuh daripada warga maya.
Malah, salah satu mesej ancaman tersebut didengar oleh anak-anaknya melalui pembesar suara telefon.
"Anak-anak saya berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Mereka berasa takut nyawa saya dan mereka dalam bahaya. Itulah saat di mana segalanya mula runtuh," tambahnya lagi.
Selain kehilangan pekerjaan, Cabot turut mengakui dia kini disisihkan oleh ramai rakan lama dan rakan sekerja.
Menurutnya, rasa dipulaukan oleh orang terdekat adalah lebih menyakitkan berbanding cacian daripada orang asing di tempat awam.
"Saya mahu anak-anak saya tahu bahawa setiap manusia boleh melakukan kesilapan dan melakukan kesalahan besar. Namun, anda tidak sepatutnya diugut bunuh hanya kerana kesilapan tersebut," tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
