ISU ketidakseimbangan tugas rumah tangga bukan sekadar keluhan golongan isteri.
Sebaliknya kajian sains mendedahkan bahawa beban kerja rumah dan 'beban mental' keterlaluan memberikan kesan nyata terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan wanita.
Penyelidikan selama lebih dua dekad menunjukkan bahawa peranan wanita yang terpaksa memasak, mencuci, merancang jadual keluarga dan menjaga anak secara sendirian membawa impak negatif kepada fisiologi serta mental mereka.
BACA LAGI: Jurang purata masa buat kerja rumah antara lelaki, wanita di Tokyo semakin mengecil — Kajian
Walaupun perkahwinan sering dianggap sebagai sumber kestabilan, manfaat kesihatan itu sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada kualiti hubungan, keadilan dalam pembahagian tugas dan sokongan emosi antara pasangan.
Psikoterapis, Ben Yalom menjelaskan bahawa ketidakseimbangan itu berpunca daripada faktor budaya dan didikan sejak kecil, yang mana wanita sering dilatih untuk menjadi pengasuh manakala lelaki pula kurang didedahkan dengan peranan tersebut.
Beban mental atau 'mental load' yang merujuk kepada tugasan kognitif tidak dapat dilihat seperti menguruskan jadual harian dan keperluan isi rumah, tetap dipikul oleh wanita walaupun mereka mempunyai kerjaya sepenuh masa.
Satu kajian di Sweden melibatkan 14,184 individu mendapati wanita menghabiskan masa hampir dua kali ganda berbanding lelaki dalam kerja rumah tanpa gaji, sekali gus meningkatkan risiko gangguan kemurungan.
Seorang ibu bekerjaya, Remi, berkongsi pengalamannya bahawa tekanan sering muncul apabila beliau perlu memberi peringatan secara berterusan kepada suami untuk membantu, satu fenomena yang dikenali sebagai 'penjejakan mental'.
Data turut menunjukkan bahawa selepas kelahiran cahaya mata pertama, beban kerja domestik wanita meningkat mendadak.
Manakala beban kerja lelaki kekal hampir tidak berubah yang membawa kepada penurunan tahap kepuasan hidup si ibu.
Pakar psikologi kaunseling, Ishita Pateria, mencadangkan agar golongan suami mengambil alih sepenuhnya tugas rumah tangga selama sebulan sebagai latihan membina empati bagi memahami kepayahan yang dilalui isteri.
Kajian pada 2025 di Amerika Syarikat dan Eropah turut mengesahkan bahawa beban mental itu dikaitkan dengan tahap tekanan yang tinggi dan memberi kesan buruk terhadap perkembangan kerjaya wanita.

Komunikasi antara suami isteri kunci utama pembahagian tugas yang adil. — Gambar hiasan/AI
Ketidakseimbangan itu akhirnya mencipta 'syif kedua' bagi wanita bekerjaya yang mana usaha tambahan menguruskan pasangan dan anak-anak menyumbang kepada masalah kesihatan jangka panjang akibat tekanan kronik.
Meskipun status ekonomi wanita telah meningkat sebagai penyumbang kewangan utama keluarga, jangkaan budaya masyarakat masih belum berubah sepenuhnya untuk menyokong peranan lelaki di rumah.
Bagi menangani isu ini, penetapan sempadan yang jelas serta komunikasi terbuka mengenai pembahagian tugas adalah kunci utama bagi memastikan keadilan dalam hubungan moden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
