'Kerja kami MC tiada dalam kamus', Nabila Huda didiagnosis 'slip disc' L5, tetap teruskan teater muzikal esok


  • Maya
  • Khamis, 18 Dis 2025

Momen itu dikongsikan Nabila pada Khamis di Instagramnya. — Instagram/@kupu_kupu

PELAKON, Nabila Huda mendedahkan beliau kini menghadapi masalah kesihatan selepas disahkan mengalami sakit tulang belakang atau cakera tergelincir (slipped disc) pada tahap L5.

Kata pelakon berusia 41 tahun itu, masalah tersebut sebenarnya pernah dialaminya sebelum ini, tetapi tidak berulang dalam tempoh yang lama.

"Dulu, saya pernah cakap ada masalah sakit pinggang, tapi dah lama dia tak buat perangai.

"Nak dijadikan cerita, sakit itu muncul semula selepas bangun tidur dua hari lalu. Kali ini lebih teruk sehingga saya susah nak berdiri," katanya dalam hantaran di Instagramnya pada Khamis.

BACA LAGI: Usia 13 dah pandai jahit ceongsam, wanita dedikasi 5 dekad hidup kuasai seni jahit pakaian tradisional Cina

BACA LAGI: [VIDEO] 'Usaha untuk berjaya tanpa ibu bapa tak semua orang boleh buat', anak yatim terima anugerah Tokoh Murid Lelaki sekolah agama

Hantaran berkenaan turut memaparkan video beliau sedang menjalani pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) di sebuah hospital.

Situasi itu membuatkan beliau panik memandangkan pementasan Teater Muzikal Masmoona yang dibintanginya akan berlangsung esok.

Susulan itu, sebelum menghadiri sesi latihan, ibu kepada seorang anak itu membuat keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital, termasuk MRI bagi mengetahui tahap sebenar kecederaan yang dialami.

"Memandangkan persembahan dah dekat, saya mula panik. Jadi semalam, sebelum latihan, saya pergi hospital dan buat MRI nak tahu keadaan sebenar, lebih kepada nak sedapkan hati.

"Tapi sekali pergi, disahkan ada slipped disc L5. Baik punya penutup 2025," ujarnya.

Akui Nabila, jadual kerja padat menjadi antara faktor penyumbang dan beliau sedar terlalu bekerja keras, namun tetap berpegang pada prinsip cintanya terhadap dunia lakonan.

Pelakon itu juga berkongsi detik mencuit hati apabila doktor mencadangkan beliau mengambil cuti sakit (MC), namun menolak kerana komitmen terhadap pementasan.

"Paling kelakar, doktor tanya, "Awak nak MC tak?' Saya tergelak terus dan jawab, 'Kerja kami ni MC memang tak ada dalam kamus'.

"Gila nak MC! Pementasan esok kot. Orang dah beli tiket. Siapa nak ganti watak Malam? No way!" katanya.

Bagaimanapun, Nabila berkata, beliau memohon rawatan sementara, termasuk ubat penahan sakit supaya dapat menghabiskan empat persembahan yang dijadualkan sebelum menjalani fisioterapi sepenuhnya selepas pementasan tamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram