TAKHTA ratu cantik Miss Finland 2025 yang disandang oleh Sarah Dzafce secara rasmi ditarik semula selepas tular sekeping gambar memaparkan beliau melakukan isyarat rasis menghina orang Asia.
Tindakan itu diambil oleh Organisasi Miss Finland minggu lalu selepas gambar Dzafce menarik hujung matanya menjadi tular di media sosial.
Gambar berkenaan yang disertakan dengan kapsyen berbunyi 'makan bersama orang Cina' telah mencetuskan kemarahan serta kecaman hebat daripada kerajaan dan pengkritik di Finland mahupun seluruh Asia.
BACA LAGI: Jurang purata masa buat kerja rumah antara lelaki, wanita di Tokyo semakin mengecil — Kajian
Dzafce yang memenangi gelaran itu pada September lalu, memberikan alasan kepada media bahawa beliau sebenarnya sedang cuba mengurangkan rasa sakit kepala semasa gambar itu diambil.
Menurut laporan Helsinki Times, beliau mendakwa seorang rakan telah berkongsi gambar tersebut dan menulis kapsyen berkenaan tanpa pengetahuannya.
Meskipun Dzafce telah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 8 Disember lalu, organisasi terbabit tetap mengambil keputusan tegas untuk melucutkan gelarannya.
"Tanggungjawab sebagai Miss Finland bukan sekadar memakai mahkota, tetapi juga melibatkan cara saya bercakap dan bertindak.
"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan ini dan akan belajar daripadanya," ujar Dzafce dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam satu kenyataan rasmi, Organisasi Miss Finland menegaskan bahawa sebarang bentuk perkauman adalah tidak boleh diterima sama sekali.
"Kejadian ini telah menyebabkan luka yang mendalam, kekecewaan dan kebimbangan di peringkat domestik serta antarabangsa.
"Kami memohon maaf atas kesan yang timbul, terutamanya kepada komuniti Asia," jelas kenyataan tersebut.
Kontroversi itu semakin meruncing apabila beberapa ahli politik sayap kanan Finland bertindak menyokong Dzafce dengan memuat naik foto mereka sendiri melakukan isyarat mata sepet tersebut.
Tindakan biadab ahli parlimen daripada koalisi pemerintah itu telah mencetuskan krisis diplomatik.
Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo, terpaksa mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada beberapa buah negara termasuk Jepun dan Korea Selatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
