Kajian rungkai 'misteri' mengapa wanita sering sakit perut berbanding lelaki


  • Bonda
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Kajian saintifik terbaharu mendedahkan hormon estrogen menjadi punca utama mengapa sistem pencernaan wanita lebih sensitif dan mudah mengalami kesakitan kronik berbanding lelaki. — Gambar hiasan/AI

PENYELIDIK dari Universiti California San Francisco (UCSF) akhirnya berjaya merungkai misteri mengapa golongan wanita lebih cenderung mengalami gangguan pencernaan kronik seperti Sindrom Usus Sengit (IBS) berbanding lelaki.

Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Science mendedahkan bahawa hormon estrogen memainkan peranan utama dalam mengaktifkan isyarat kesakitan pada sistem penghadaman wanita.

IBS merupakan keadaan kronik yang menyebabkan kesakitan pada bahagian abdomen, kembung perut dan ketidakselesaan pencernaan ketara dengan statistik menunjukkan wanita lebih mendominasi jumlah pesakit.

BACA LAGI: Jurang purata masa buat kerja rumah antara lelaki, wanita di Tokyo semakin mengecil — Kajian

BACA LAGI: Inovasi 'Solar Mama' bawa cahaya, terangi kediaman penduduk pulau

Profesor Holly Ingraham dari UCSF menjelaskan bahawa kajian itu bertujuan memberikan penjelasan saintifik yang kukuh di sebalik penderitaan wanita muda, sekali gus mengenal pasti sasaran ubat-ubatan baharu.

Penyelidikan mendapati estrogen mengaktifkan laluan di dalam kolon yang sebelum ini tidak diketahui, apabila ia bertindak mencetuskan kesakitan dan menjadikan usus wanita lebih sensitif terhadap jenis makanan tertentu.

Menerusi ujian makmal, tikus jantan yang diberikan hormon estrogen menunjukkan tahap sensitiviti kesakitan usus yang meningkat secara mendadak sehingga menyamai tahap tikus betina.

Kejutan utama dalam kajian itu adalah penemuan reseptor estrogen yang berkelompok pada 'sel-L' di bahagian bawah kolon dan bukannya pada sel yang dijangkakan oleh penyelidik sebelum ini.

Apabila estrogen berhubung dengan sel-L, ia mencetuskan tindak balas rantaian yang membebaskan hormon Peptide YY (PYY), yang kemudiannya merangsang pembebasan neurotransmiter serotonin untuk mengaktifkan gentian saraf pengesan sakit.

Gangguan usus kronik didapati lebih kerap menyerang wanita akibat pengaruh hormon estrogen dalam sistem pencernaan. — Gambar hiasan/AI

Menariknya, hormon PYY sebelum itu hanya dikaitkan dengan fungsi menyekat selera makan, namun kajian membuktikan peranannya yang sangat kuat sebagai isyarat kesakitan di dalam usus.

Selain itu, estrogen juga meningkatkan tahap molekul Olfr78 yang menjadikan sel-L sangat sensitif terhadap asid lemak iaitu bahan hasil sampingan bakteria usus semasa proses penghadaman.

Penemuan itu menjelaskan mengapa diet rendah FODMAP (diet yang mengurangkan makanan bertapis dan bertapai seperti bawang merah, bawang putih, dan gandum) sangat berkesan membantu mengurangkan kesakitan bagi pesakit wanita.

Dengan mengurangkan pengambilan makanan tersebut, pesakit sebenarnya mengelakkan pengaktifan molekul Olfr78, sekali gus menghalang sel-L daripada merembeskan hormon PYY yang mencetuskan sakit perut.

Penyelidik turut menyatakan bahawa bagi lelaki, laluan selular ini biasanya berada dalam keadaan 'senyap' disebabkan tahap estrogen yang jauh lebih rendah berbanding wanita.

Pakar mencadangkan bahawa penemuan laluan biokimia itu boleh dijadikan asas kepada pembangunan ubat-ubatan masa hadapan yang lebih efektif tanpa memerlukan kawalan diet terlalu ketat oleh pesakit.

Kini, pasukan penyelidik sedang memperluaskan kajian untuk melihat kesan hormon lain seperti progesteron serta impak kitaran haid dan kehamilan terhadap fungsi usus wanita. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram