ISU fitnah di tempat kerja bukanlah perkara asing dalam kalangan masyarakat zaman ini.
Ia boleh berlaku dalam bentuk percakapan belakang, penyebaran cerita separuh benar, sindiran halus, malah tuduhan terbuka yang mencalar maruah seseorang.
Dalam persekitaran pejabat yang sepatutnya menjadi ruang profesional dan aman, fitnah sering muncul sebagai ujian yang menguji keimanan, kesabaran dan kebijaksanaan seseorang Muslim.
BACA LAGI: Nasihat buat pemerintah: Apa yang sering kita terlepas pandang
BACA LAGI: Komuniti Sibu jadikan Pickleball pupuk semangat persahabatan, hayati nilai-nilai murni

Fitnah mampu mencetuskan suasana toksik yang menjejaskan produktiviti, kepercayaan dan ketenangan jiwa. — Gambar hiasan
Panel Strategik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa punca utama fitnah sering bermula daripada kegagalan menjaga lidah iaitu nikmat kecil yang besar kesannya di sisi ALLAH SWT.
Nik Omar mengajak umat Islam meneladani sebuah hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal RA.
Apabila beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang boleh memasukkan seseorang ke dalam syurga dan menjauhkannya daripada neraka, Baginda SAW menjelaskan rukun-rukun Islam dan amalan utama dalam kehidupan Muslim.
"Namun, pada penghujung perbualan itu, Rasulullah SAW memegang lidah Baginda sendiri lalu bersabda bahawa manusia boleh dihumbankan ke dalam api neraka akibat lidah mereka.
"Isyarat ini sangat mendalam maknanya. Banyak amalan baik boleh gugur nilainya hanya kerana kata-kata yang tidak dijaga—sama ada berupa fitnah, mengumpat, mengadu domba atau menyakiti hati orang lain," katanya kepada Majoriti.
Menurut Nik Omar, Rasulullah SAW turut bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tambahnya, hadis itu menjadi prinsip asas dalam menangani konflik dan percakapan di tempat kerja.
"Tidak semua perkara perlu dikomen dan tidak semua cerita perlu disambung.
"Dalam suasana pejabat, keterbukaan berbicara tanpa kawalan sering membawa seseorang terjerumus ke dalam topik yang merugikan diri sendiri.
"Kita mungkin berbicara tentang kelemahan orang lain, sedangkan hakikatnya kita sendiri penuh kekurangan," katanya lagi.

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz
Ujar Nik Omar, ALLAH mengingatkan dalam al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mengumpat antara satu sama lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Katanya, fitnah bukan sahaja merosakkan hubungan sesama rakan sekerja, bahkan mencetuskan suasana toksik yang menjejaskan produktiviti, kepercayaan dan ketenangan jiwa.
Nasihat buat mangsa fitnah
Menurut Ustaz Nik Omar, bagi individu yang menjadi mangsa fitnah, Islam tidak menafikan hak untuk mempertahankan diri.
"Jika fitnah tersebut menjejaskan maruah dan kebenaran perlu ditegakkan, maka dibolehkan untuk bersuara dan menjelaskan perkara sebenar.
"Namun, jika dirasakan penjelasan hanya akan memanjangkan konflik dan keadaan menjadi lebih keruh, maka diam dengan penuh hikmah adalah pilihan yang lebih utama," tegasnya.
Ujarnya, diam dalam situasi tertentu bukan tanda kalah, sebaliknya mencerminkan kebesaran jiwa dan kekuatan iman.
ALLAH SWT berfirman: “Dan orang-orang yang bersabar serta memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang memerlukan keteguhan hati.” (Surah al-Syura, ayat 43)
Mengulas lanjut beliau berkata, adalah lebih tinggi darjatnya apabila mangsa fitnah masih mampu mendoakan orang yang memfitnahnya agar diberi kesedaran.
"Dalam keadaan ini, ganjaran pahala adalah besar di sisi ALLAH SWT.
"Apabila sesuatu itu bernilai tinggi, ia perlu dijaga dengan sebaiknya. Seperti emas yang bernilai tinggi, manusia akan menyimpannya di tempat yang paling selamat.
"Begitulah juga dengan lidah. Nilainya sangat besar. Tanpa lidah, bukan sahaja kita sukar untuk makan dan minum, bahkan untuk bercakap juga tidak mampu.
"Oleh itu, setiap nikmat yang Allah berikan wajib dijaga. Antara cara menjaganya ialah dengan bercakap perkara-perkara yang membawa manfaat, atau memilih untuk diam," ungkapnya.
Meneladani kesabaran Nabi Yusuf AS
Nik Omar turut mengajak kita merenungi kisah Nabi Yusuf AS yang dikhianati oleh saudara kandungnya sendiri dan difitnah dengan tuduhan yang berat. Namun Baginda memilih jalan takwa dan sabar.
"Apabila kebenaran akhirnya terserlah, Nabi Yusuf AS tidak membalas dendam, sebaliknya memaafkan," katanya.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka ALLAH tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf, ayat 90)
Kesimpulannya menurut Nik Omar, fitnah di tempat kerja adalah ujian yang menuntut takwa iaitu rasa sentiasa diawasi ALLAH (muraqabah) dan sabar iaitu kekuatan dalaman untuk bertahan tanpa menggadaikan akhlak.
Dalam dunia yang semakin bising dengan kata-kata, diam yang berhikmah dan percakapan yang baik adalah tanda kematangan iman.
Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui setiap kezaliman dan DIA jugalah seadil-adil pembela.
"Apabila kita terlalu terbuka dalam percakapan, kadang-kadang kita akan terjerumus ke dalam topik-topik yang merugikan diri sendiri.
"Akhirnya, percakapan itu boleh menimbulkan fitnah dan fitnah adalah sesuatu yang sangat merosakkan.
"Kita mungkin memfitnah orang lain, sedangkan tanpa kita sedari, orang lain juga boleh memfitnah kita.
"Kita bercakap tentang kelemahan orang, sedangkan hakikatnya kita sendiri juga mempunyai banyak kelemahan. Justeru, sikap yang terbaik ialah sentiasa berwaspada," pesan beliau menutup bicara.
Tip praktikal tangani fitnah di tempat kerja
Sebagai panduan kepada pembaca, berikut beberapa tip yang boleh diamalkan:
1. Jaga lidah dan jari – bukan sahaja percakapan, malah mesej WhatsApp dan emel juga boleh menjadi punca fitnah.
2. Elakkan menjadi penyambung cerita – jika sesuatu berita tidak pasti, hentikan ia pada diri kita.
3. Nilai niat sebelum bercakap – adakah ia untuk kebaikan atau sekadar meluahkan emosi?
4. Cari saluran yang betul – jika perlu menjelaskan keadaan, lakukan secara berhemah melalui pihak berautoriti.
5. Perbanyakkan doa dan istighfar – mohon agar ALLAH SWT menjaga lidah kita dan melembutkan hati manusia.
6. Pegang prinsip takwa dan sabar – dua penawar utama dalam menghadapi ujian kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
