'Banyak hubungan terlarang mula dengan typing', jaga adab di ofis, jangan sampai ‘mesra’ jadi bencana


  • Cinta
  • Selasa, 16 Dis 2025

DALAM dunia kerjaya moden hari ini, pejabat sering menjadi ruang interaksi antara lelaki dan wanita dari pelbagai latar belakang, usia serta personaliti.

Suasana ini menjadikan organisasi lebih dinamik dan produktif.

Namun, di sebalik manfaat itu, wujud satu cabaran besar yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja iaitu batas pergaulan antara rakan sekerja berlainan jantina.

BACA LAGI: Lambang kekuatan wanita, sekumpulan remaja tunggang kuda sambil tabik hormat Presiden UAE

BACA LAGI: Bakat seni dipinggirkan, remaja miliki 700 trofi lukisan gagal diterima bersekolah

Dr. Hasnizam (kiri) dan Dr. Syaryanti menyarankan agar tidak mengambil ringan hubungan sesama rakan sekerja sehingga melampaui batas dan mencetuskan pelbagai isu.

Apabila batas ini tidak dijaga, hubungan yang pada awalnya sekadar urusan kerja boleh bertukar menjadi punca fitnah dan keretakan rumah tangga.

Baru-baru ini, media sosial digemparkan dengan kisah sepasang rakan sepejabat yang terbongkar menjalin hubungan sulit ketika menghadiri sebuah konsert.

Rakaman kamera yang tidak disengajakan memaparkan perlakuan tidak sopan mereka, lalu menjadi tatapan dunia.

Akhirnya, kedua-duanya bukan sahaja menanggung malu tetapi turut kehilangan pekerjaan. Peristiwa ini menjadi peringatan jelas bahawa pergaulan bebas walaupun kelihatan kecil, boleh membawa kemusnahan besar.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Dr. Syaryanti Hussin berkata, jika kamera dunia tidak bernyawa pun mampu membongkar aib manusia, apatah lagi 'kamera' ALLAH SWT yang tidak pernah padam.

"Bayangkan setiap perbuatan kita tidak pernah terlepas walau sesaat dan tidak pernah salah menilai.

"Malu kepada manusia hanya sementara tetapi malu kepada ALLAH, itulah tanda iman kita masih hidup," kata Dr. Syaryanti kepada Majoriti baru-baru ini.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud: “Tidak ada suatu kata pun yang diucapkannya melainkan di sisinya ada malaikat pengawas yang selalu siap mencatat.”

Inilah peringatan bahawa setiap perbuatan dan tutur kata kita sentiasa diperhatikan, walau jauh daripada pandangan manusia.

Menurut beliau, Islam tidak melarang interaksi antara lelaki dan wanita, apatah lagi dalam dunia pekerjaan yang memerlukan kerjasama profesional.

"Bagaimanapun, Islam menuntut agar pergaulan itu dijaga dengan adab, maruah dan sempadan yang jelas. Sejarah membuktikan wanita turut aktif dalam urusan ekonomi, pendidikan dan masyarakat.

"Namun semuanya berlangsung dalam batas adab, hormat dan penjagaan maruah bukan melalui pergaulan bebas atau keintiman yang melampaui keperluan.

“Pergaulan profesional bukan sekadar SOP organisasi tetapi cerminan akhlak Muslim. Batas ini bukan untuk menyusahkan tetapi untuk melindungi maruah, menjaga hati dan mengelakkan fitnah yang boleh merosakkan rumah tangga serta kerjaya,” tegas beliau.

Tambah Dr. Syaryanti, dalam konteks tempat kerja hari ini, sikap mengambil mudah hubungan sesama rakan sekerja sering menjadi punca kepada pelbagai isu.

Ia termasuklah salah faham, tekanan rumah tangga, konflik di pejabat malah hubungan sulit.

"Semua ini hakikatnya boleh dielakkan jika setiap individu mematuhi garis adab yang ditetapkan agama.

"Menjaga batas bukan sesuatu yang kolot sebaliknya ia tanda profesional dan beretika. Ia melindungi semua pihak," katanya.

Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan tegas melalui hadis yang bermaksud: “Tidaklah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita melainkan syaitan menjadi orang ketiga.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

"Hadis ini menunjukkan betapa manusia mudah terjebak apabila berada dalam situasi yang mengundang godaan tanpa sedar.

"Lebih membimbangkan, komunikasi pada era digital menghapuskan batas masa dan ruang. Aplikasi seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook membenarkan rakan sekerja berhubung 24 jam sehari.

"Mesej pada lewat malam, gurauan peribadi, perkongsian gambar atau luahan emosi yang tidak perlu hanya akan membuka pintu keakraban yang tidak wajar," tegasnya lagi.

Baik lelaki mahupun wanita perlu sentiasa menjaga adab di pejabat kerana pergaulan tanpa batas boleh mencemarkan keberkatan rezeki. — Gambar hiasan/Canva

Bermula dengan typing

Sementara itu, Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Prof. Madya Dr. Hasnizam Hashim berkata, cabaran terbesar hari ini bukan pertemuan fizikal tetapi komunikasi digital yang tidak nampak batasnya.

"Banyak hubungan terlarang bermula dengan ‘typing…’ yang tidak sepatutnya pun wujud. Maka, adab digital perlu sama ketatnya seperti adab ketika bersemuka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu pergaulan tanpa batas juga boleh mencemarkan keberkatan rezeki.

"Kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Ia menuntut integriti, disiplin dan kejujuran. Apabila hati dicemari dengan hubungan yang tidak halal, keberkatan itu hilang sedikit demi sedikit.

"Banyak keluarga musnah bukan kerana benci tetapi kerana kelalaian menjaga adab terhadap orang luar atau ajnabi," tegas Dr. Hasnizam.

Selain itu, dalam realiti pejabat hari ini, normalisasi budaya 'mesra tetapi bahaya' turut menjadi isu.

"Atas nama 'team bonding, rapatkan hubungan kerja' atau 'kemesraan tempat kerja', pergaulan bebas dianggap biasa.

"Namun jika ia tidak dikawal dengan batas agama, ia akan bertukar menjadi racun yang perlahan-lahan memakan maruah dan keharmonian organisasi. Islam bukan menyekat fitrah tetapi membimbing agar fitrah itu berada dalam kawalan yang selamat," ungkapnya.

Justeru, mengingati bahawa setiap detik kehidupan kita dirakam oleh ALLAH SWT adalah benteng terbaik untuk menjaga diri daripada perkara yang membinasakan.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Zalzalah ayat 7–8 yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya.”

Ingat bahawa tiada siapa yang akan mampu memadam 'rakaman' itu dan ia akan dipertontonkan pada hari pembalasan di hadapan seluruh makhluk.

"Kita hidup dalam zaman yang bukan sahaja penuh peluang tetapi juga sarat ujian. Menjaga adab bukan pilihan tambahan tetapi keperluan.

"Kerja adalah amanah, rakan sekerja adalah tanggungjawab sosial dan maruah adalah harga diri yang tidak boleh digadai.

"Jaga diri, pelihara maruah dan bekerjalah dengan hati yang bersih. Jadilah rakan sekerja yang membawa kebaikan, bukan kebinasaan," kata Dr. Hasnizam menutup bicara.

Langkah menjaga adab pergaulan di tempat kerja:

  • Amalkan interaksi profesional dan hanya berbual perkara yang perlu.
  • Hadkan komunikasi di luar waktu kerja kecuali untuk urusan penting.
  • Tapiskan bahan perkongsian, elakkan gambar peribadi atau luahan emosi.
  • Hindari situasi berdua-duaan dalam ruang tertutup atau perjalanan jauh.
  • Jaga batas fizikal dan elakkan sentuhan mesra tanpa keperluan.
  • Kawal jenaka; jauhi gurauan sensitif, seksual atau berbaur romantik.
  • Hormati pasangan dan jangan menjadikan rakan sekerja tempat meluahkan masalah rumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram