SEORANG wanita di China sanggup membelanjakan kira-kira lapan juta yuan (sekitar RM4 juta) untuk menjalani pembedahan kosmetik demi menyerupai pelakon terkenal Fan Bingbing.
He Chengxi, 31, bagaimanapun terpaksa mengubah haluan hidupnya selepas reputasi bintang itu merudum.
Wanita berasal dari Shenzhen, China sebelum ini dilaporkan pernah menjalani sebanyak 37 prosedur pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan.

Pembedahan plastik yang dilakukan Chengxi untuk menyerupai Fan Bingbing. — Agensi
Pembedahan tersebut juga banyak dilakukan pada wajah antara 2008 hingga 2016.
"Ia merupakan impian saya untuk menjadi seperti dia," kata Chengxi sambil menunjuk kepada gambar Fan Bingbing ketika usia remaja.
Chengxi mengakui tidak berpuas hati dengan penampilan dirinya yang dianggap 'biasa'.
Fan Bingbing yang kini berusia 44 tahun pernah tersenarai sebagai antara selebriti dengan bayaran tertinggi di China serta dikenali di peringkat antarabangsa, selain sering dipuji kerana mempunyai wajah sempurna.
Pada peringkat awal, ibu bapa Chengxi tidak merestui keputusannya untuk menjalani pembedahan berkenaan.

Kebanyakan pembedahan dilakukan di wajahnya. — Agensi
Namun, beliau tetap berkeras, malah pernah mengancam untuk membunuh diri sekiranya dihalang.
Chengxi kemudiannya menjalani pembedahan pada kelopak mata sebanyak tiga kali dan meminta doktor memastikan wajahnya menyerupai Fan Bingbing semirip mungkin.
Pada 2016, hasil pembedahan itu, Chengxi meraih perhatian ramai selepas menyertai sebuah pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan.
Beliau kemudian digelar 'Fan Bingbing versi kecil' dan ditawarkan beberapa watak sampingan dalam drama serta filem.
Chengxi turut menjalinkan hubungan dengan seorang daripada doktor yang terlibat dalam pembedahannya, Yu Xiaoquan.
Tanpa disangka, Yu turut menjalani beberapa prosedur kosmetik untuk menyerupai bekas kekasih Fan Bingbing iaitu pelakon, Li Chen.

Chengxi mula diterima ramai selepas melakukan pembedahan. — Agensi
Pasangan itu kemudiannya sering diundang ke pelbagai acara komersial di seluruh China sebagai copy pasangan selebriti terkenal berkenaan.
Yu kemudian membuka sebuah klinik kecantikan dengan slogan 'transformasi orang biasa sebagai selebriti'.
Pasangan itu berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki pada tahun sama.
Namun, pada 2018, Chengxi mendedahkan di media sosial bahawa suaminya berlaku curang dengan seorang lelaki.
Pasangan itu turut bercerai pada tahun sama dan hak penjagaan anak diberikan kepada Yu.
Tahun tersebut juga menyaksikan Fan Bingbing terpalit dengan skandal pengelakan cukai sebelum diarahkan membayar kira-kira 884 juta yuan (sekitar RM499 juta) sebagai denda serta dikenakan larangan berlakon di China.
Susulan kejatuhan reputasi pelakon tersebut, Chengxi menjadi bahan ejekan warganet, bahkan kekurangan tawaran lakonan.

Chengxi (kanan) kini lebih selesa menjadi diri sendiri selepas mengubah semula wajahnya. — Agensi
Disebabkan kejadian itu, Chengxi mengambil keputusan untuk fokus menjadi pempengaruh fesyen dan penyiar langsung (live streamer) dengan jumlah pengikut sekitar 330,000 orang.
Beliau juga muncul dalam beberapa drama televisyen sebagai pelakon pembantu kecil selepas menjalani pembedahan tambahan untuk mengurangkan persamaan wajah dengan Fan Bingbing.
"Saya sekarang adalah diri saya sendiri.
"Antara prinsip hidup saya ialah tidak hidup untuk menyenangkan orang lain," katanya.
Sementara itu, Fan Bingbing yang masih disenarai hitam di China dilaporkan masih meneruskan kerjaya seninya di luar negara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
