KEKAYAAN sebenar bukanlah diukur melalui jumlah harta yang dimiliki atau ditinggalkan buat pewaris.
Namun, nilainya terletak pada amanah dan kepercayaan yang diberikan seperti kisah dikongsikan seorang wanita di akaun Threads @sezwati baru-baru ini.
Kebaikan, ilmu dan akhlak yang ditonjolkan ketika masih hidup menjadi harta paling bermakna bagi individu tersebut.
BACA LAGI: Dengar lagu rangsang fungsi otak, main alat muzik bantu kurangkan risiko hidap demensia
Itulah antara keperibadian nenek tiri wanita terbabit yang paling diingati dan dirinduinya.
Berdasarkan perkongsiannya, nenek tirinya juga merupakan wanita mementingkan pendidikan dan pernah melanjutkan pengajian Bahasa Inggeris di United Kingdom (UK).
"Kemudian pulang dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di Kluang, Johor sehingga pencen.
"Ilmunya tinggi, tetapi hatinya lebih tinggi. Lembut, tenang dan sangat baik dengan manusia," luahnya.

Kisah arwah Azizah Masrom yang dikongsikan oleh cucunya. — Threads
Antara kenangan paling membekas dalam ingatannya adalah ketika nenek beliau memberi sejumlah wang kepada seorang wanita tidak dikenali di rumah.
Ternyata, wang tersebut merupakan simpanan pencen milik orang lain yang menjadi amanah neneknya.
"Mak cik itu menyimpan duit pencennya dengan nenek kerana takut anaknya mengambil wang tersebut untuk beli dadah.
"Jadi, setiap kali perlu beli barang dapur, makcik itu akan datang dan nenek akan berikan jumlah yang diperlukan.
"Di situlah saya belajar bahawa ada orang kaya bukan kerana hartanya, tetapi amanah yang orang lain sanggup letakkan di tangannya.
"Nenek ada rumah sewa sederet, ada ladang sawit. Namun hartanya tidak pernah menjadikan dia berkira," katanya.
Neneknya juga pernah menyuarakan hasrat untuk tinggal lebih dekat dengan cucunya di Kluang.
Malah, katanya, arwah sempat menawarkan sebuah rumah sewa miliknya untuk didiami cucu dan keluarga sekiranya mereka berpindah.
Hasrat tersebut bagaimanapun tidak sempat direalisasikan apabila neneknya diserang strok dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
"Ayatnya masih jelas dalam ingatan, 'baliklah, kita ada banyak harta, tetapi waris tak ramai.
"Sekurang-kurangnya bila awak balik, ada orang yang boleh jaga acik dan pak long'.
"Keputusan untuk berpindah dari Puchong, Selangor ke Kluang bukan mudah, tetapi selepas panjang berbincang dengan suami, kami akhirnya bersetuju," tambahnya.
Beliau bagaimanapun sempat menziarahi neneknya dua minggu sebelum pemergiannya dan meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat membuat keputusan untuk berpindah lebih awal.
"Nenek adalah contoh manusia yang hidupnya memberi makna kepada orang lain.
"Pengaruh dan kebaikannya akan terus hidup dalam doa, cerita dan pilihan hidup kami," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
