DRON merupakan antara teknologi pintar yang semakin meluas digunakan pada masa kini, bukan sahaja dalam bidang fotografi dan videografi, malah bagi tujuan pemetaan, pemantauan keselamatan serta operasi industri yang memerlukan ketepatan dan kecekapan tinggi.
Namun, kecanggihan peranti tanpa pemandu itu boleh bertukar menjadi ancaman apabila disalah guna secara tidak bertanggungjawab, khususnya di kawasan perumahan sehingga mengganggu privasi orang awam.
Situasi itu disuarakan oleh seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pemilik drone yang didakwa menggunakan peralatan tersebut sesuka hati di kawasan Sentul Perdana berhampiran Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
BACA LAGI: Lebih panjang umur jika berkahwin, kajian dedah individu bujang berisiko mati cepat
Menerusi perkongsian di laman Threads miliknya pada Ahad, pengguna dikenali sebagai irahnoorkhan mendakwa sebuah dron diterbangkan terlalu hampir dengan pangsapuri miliknya dan berkemungkinan merakam penghuni kawasan tersebut tanpa keizinan.
"Tak cerdik dan b***h orang yang guna dron dekat rumah macam ini, mencabuli privasi orang lain, tambahan pula melibatkan individu yang tidak menutup aurat.
"Tadi lagi dekat, mungkin selepas sedar dirakam, barulah dia beredar," tulisnya.
Perkongsian tersebut pantas mendapat perhatian warganet dengan rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati serta kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan teknologi berkenaan.
Seorang pengguna, queenofbol, berpandangan tindakan tegas wajar diambil sekiranya drone diterbangkan di kawasan larangan.
"Kita mempunyai hak untuk menghentikannya jika dikesan terbang di kawasan terhad seperti ini," katanya.
Sementara itu, pink_bunny13th turut menegaskan penggunaan dron tidak boleh dibuat sesuka hati.
"Perbuatan ini salah, penggunaan dron tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya," ujarnya.
Menurut mofionline, penguatkuasaan berkaitan penggunaan drone amat penting bagi mengelakkan penyalahgunaan.
"Sebab itu wujud penguatkuasaan terhadap drone, namun ada pihak yang mempertikaikannya.
"Hakikatnya, ruang untuk disalah guna sangat tinggi kerana ia mudah dikendalikan dan boleh digunakan untuk mengintai serta mengganggu orang lain tanpa dikesan," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads, suzannetiyon, memaklumkan terdapat dua saluran laporan rasmi sekiranya berlaku salah guna dron.
"Boleh buat aduan iaitu dengan menghubungi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melalui emel [email protected] atau membuat laporan di balai polis berhampiran," tulisnya.
Isu ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa meskipun drone menawarkan pelbagai manfaat dan kemudahan, penggunaannya perlu mematuhi undang-undang serta etika bagi memastikan keselamatan dan privasi masyarakat sentiasa terpelihara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
