Inovasi 'Solar Mama' bawa cahaya, terangi kediaman penduduk pulau


  • Hias
  • Khamis, 18 Dis 2025

Hamad sedang memasang pendawaian alat kawalan cas solar di kampus kolej tersebut sebagai sebahagian daripada latihannya. — Agensi

BAGI penduduk di kepulauan Zanzibar, Tanzania, tibanya waktu senja bukan sahaja membawa kegelapan malam, malah kepulan asap yang menyesakkan dada.

Namun, kehadiran sekumpulan wanita yang digelar sebagai 'Solar Mama' kini mengubah landskap kehidupan ribuan penduduk di sana.

Hamna Silima Nyange merupakan antara jutaan penduduk di kepulauan tersebut yang tidak mempunyai akses kepada rangkaian bekalan elektrik.

BACA LAGI: Pengantin Gen Z, Milenial cari alternatif jimat kos gubahan, pilih tanam sendiri banding beli bunga segar import

BACA LAGI: Seri Negara diberi nafas baharu, konservasi anggun bertemu kemewahan kontemporari

Sebelum ini, beliau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada lampu minyak tanah yang mengeluarkan asap tebal demi memastikan lapan orang anaknya dapat mengulang kaji pelajaran.

"Cahayanya terlalu malap, malah asap daripada lampu itu sering menyakitkan mata saya," luah Hamna mengenangkan kesukaran hidupnya sebelum ini.

Segala-galanya berubah apabila jirannya, Tatu Omary Hamad, memasang panel solar dan lampu mentol di kediamannya.

Tatu bukan sekadar pengguna, malah beliau adalah salah seorang daripada puluhan 'Solar Mama' yang dilatih oleh sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) global, Barefoot College International.

Menerusi program itu, wanita di kawasan luar bandar dilatih menjadi juruteknik tenaga suria yang mahir.

Di Zanzibar sahaja, inisiatif itu telah berjaya menerangi lebih 1,845 buah rumah yang dahulunya bergelap.

Juruteknik ‘Solar Mama’ di Barefoot College International yang terletak di Kinyasini, Unguja, Zanzibar. Agensi

Pengarah Barefoot College International Zanzibar, Brenda Geofrey, menjelaskan bahawa program tersebut menyasarkan wanita pertengahan umur yang kebanyakannya tidak mempunyai pendidikan formal.

"Kami mahu melatih wanita untuk menjadi ejen perubahan. Golongan itu dipilih kerana mempunyai ikatan komuniti yang kuat dan tidak lagi terikat dengan komitmen penjagaan anak yang intensif," ujar beliau.

Peserta akan menjalani latihan selama enam bulan untuk mempelajari selok-belok teknikal sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing dengan membawa 50 set kelengkapan panel solar rumah untuk dipasang dan diselenggara.

Salah seorang tenaga pengajar utama, Khazija Gharib Issa, menyifatkan program itu sebagai peluang kedua dalam hidupnya.

Dahulunya seorang janda yang menganggur, kini beliau merupakan pakar teknikal yang disegani.

"Saya kini mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal yang stabil. Dahulunya, saya tidak punya apa-apa," kata Khazija.

Selain membawa cahaya, inisiatif itu secara tidak langsung meningkatkan taraf kesihatan penduduk.

Penggunaan lampu minyak tanah (kerosen) dikenal pasti sebagai punca masalah penglihatan, kerosakan paru-paru, serta risiko kebakaran di kawasan kediaman yang sempit.

Petugas kesihatan tempatan, Jacob Dianga, menegaskan bahawa peralihan kepada tenaga bersih adalah langkah kritikal bagi mengurangkan risiko keracunan dalam kalangan kanak-kanak yang sering tersilap meminum bahan api tersebut.

Seorang wanita sedang menyalakan lampu yang dikuasakan oleh tenaga suria di rumahnya yang terletak di utara Unguja. Agensi

Walaupun membuahkan hasil yang positif, perjalanan 'Solar Mama' tidak sunyi daripada cabaran.

Selain kekangan dana global, mereka juga berdepan dengan stigma masyarakat yang masih sukar menerima wanita sebagai juruteknik.

Ada segelintir suami yang menghalang isteri mereka daripada menyertai latihan tersebut ekoran pandangan konservatif terhadap peranan wanita dalam komuniti.

Bagaimanapun, bagi Khazija dan rakan-rakannya, hasil kerja mereka menjadi bukti untuk menutup mulut pengkritik.

"Dahulu mereka mentertawakan saya, tetapi sekarang mereka melihat betapa pentingnya kerja yang saya lakukan. Saya telah menjadi contoh kepada komuniti," tegasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram