Dengar lagu rangsang fungsi otak, main alat muzik bantu kurangkan risiko hidap demensia


  • Sihat
  • Selasa, 16 Dis 2025

Kajian mendapati mendengar muzik mampu membantu mengurangkan risiko individu menghidap demensia. — Gambar hiasan/Agensi

AMALAN mendengar muzik secara konsisten didapati mampu mengurangkan risiko demensia sehingga hampir 40 peratus.

Ia turut dibuktikan menerusi satu kajian terbaharu dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Monash, Australia.

Kajian tersebut mendapati individu yang kerap mendengar muzik bukan sahaja mempunyai risiko lebih rendah untuk menghidap demensia, malah menunjukkan skor lebih tinggi dalam keupayaan kognitif menyeluruh termasuk memori, fokus, komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah.

BACA LAGI: 'Perfect dan profesional', wedding planner Erra Fazira dipuji pandai kawal situasi, jelas beri arahan

BACA LAGI: Ibu pilih ‘me time’ di spa, anak usia setahun mulut berbuih, sawan dibiarkan dalam kereta lebih 2 jam sebelum maut

Individu kerap mendengar muzik mempunyai risiko lebih rendah menghidap demensia. — Gambar hiasan/Agensi

Ketua Unit Neuropsikiatri Biologi dan Demensia Universiti Monash, Profesor Joanne Ryan yang juga penulis utama kajian itu berkata, penyelidikan berkenaan melibatkan hampir 11,000 peserta berusia 70 tahun ke atas.

Menurutnya, semua peserta direkrut melalui kerjasama dengan pengamal perubatan am sebagai sebahagian daripada kajian penuaan jangka panjang Australia dikenali sebagai Aspirin in Reducing Events in the Elderly (ASPREE) dan tiada seorang pun mempunyai masalah kognitif serius ketika mula menyertai kajian.

"Kami menilai kekerapan peserta mendengar muzik, sama ada setiap hari, beberapa kali seminggu atau tiada langsung.

"Mereka juga ditanya sama ada bermain alat muzik dan kekerapan melakukannya," jelasnya.

Hasil kajian juga menunjukkan mereka yang sentiasa mendengar muzik mempunyai risiko 39 peratus lebih rendah untuk mengalami demensia.

Malah, peserta yang bermain alat muzik turut mencatatkan pengurangan risiko demensia sehingga 35 peratus.

Ryan menjelaskan, muzik memberi manfaat kepada otak melalui pelbagai mekanisme termasuk rangsangan emosi, ingatan, tumpuan dan pergerakan fizikal.

Kajian pengimejan otak sebelum ini turut menunjukkan bahawa pelbagai kawasan otak akan diaktifkan apabila seseorang mendengar muzik.

"Apabila kita mendengar muzik, bukan sahaja kawasan pendengaran dirangsang, malah pusat emosi seperti amigdala, sistem limbik, kawasan memori seperti hipokampus, fungsi kognitif serta korteks motor juga terlibat," katanya.

Selain merangsang otak, muzik turut dipercayai mampu membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan, menurunkan tekanan darah serta meningkatkan mood.

Ia sekali gus memberi kesan tidak langsung terhadap kesihatan otak.

Bermain alat muzik mampu membantu otak lebih fokus. — Gambar hiasan/Agensi

Sementara itu, Profesor Neurosains dari Oregon Health & Science University, Amerika Syarikat (AS), Larry Sherman berkata, kajian imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) menunjukkan otak manusia memberi tindak balas unik terhadap muzik berbanding bunyi lain.

Beliau menjelaskan, muzik mampu merangsang pembentukan neuron baharu, mengukuhkan sambungan sinaps dan meningkatkan myelination iaitu proses yang mempercepatkan penghantaran isyarat saraf.

Walaupun kajian Universiti Monash tidak meneliti jenis muzik tertentu, penyelidikan terdahulu mendapati semua genre muzik berpotensi memberi manfaat kepada kesihatan otak.

Justeru, amalan ringkas seperti mendengar atau bermain alat muzik bukan sahaja menghiburkan, malah berpotensi menjadi antara langkah pencegahan awal terhadap kemerosotan fungsi otak dan demensia, khususnya dalam kalangan warga emas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram