Jayakan misi ‘jiran prihatin’, program SGHA 2025 bersama McDonald’s Malaysia rai penghuni istimewa Taman Megah


  • Massa
  • Ahad, 12 Okt 2025

Program CSR anjuran SMG bersama McDonald's Malaysia pada Khamis lalu.

SERAMAI kira-kira 46 kanak-kanak penghuni Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor diraikan penuh meriah dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Star Media Group (SMG) bersama McDonald’s Malaysia pada Khamis lalu.

Penganjuran program sebagai sebahagian antara usaha Star Golden Hearts Award (SGHA) 2025 itu bukan sekadar membawa kegembiraan kepada penghuni pusat penjagaan berkenaan, malah turut menyemai nilai kasih sayang dan empati.

Mereka disantuni dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sambutan hari lahir, sesi tarian, pemberian hadiah dan agihan makanan sumbangan McDonald's Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari ‘wishlist’ ke realiti, SMG tunaikan impian anak-anak Sindrom Down

BACA LAGI: Food For Soul 2.0 ukir senyuman ibu tunggal, golongan asnaf di PPR Seri Kota

 

STAR Foundation CSR Programme at Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat, Taman Megah, Petaling Jaya. — YAP CHEE HONG/The Star

Setiap penghuni diraikan dengan kasih sayang.

Pengasas dan Presiden pusat jagaan itu, Umah Devi Rajamanikam, 55, menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan oleh pihak penganjur.

"Kami sangat gembira dengan kehadiran mereka pada hari ini.

"Sumbangan sebanyak RM5,000 dan makanan yang diberikan benar-benar menceriakan anak-anak di sini.

"Cinta dan kasih sayang yang dipamerkan amat bermakna," katanya ketika ditemui di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan masa akan datang.

"Diharapkan program seperti ini dapat dianjurkan pada hujung minggu supaya lebih ramai kanak-kanak dapat turut serta.

"Kanak-kanak ini sangat teruja apabila melihat tetamu yang datang kerana mereka menyifatkan itu tanda kasih sayang daripada masyarakat," jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa pusat tersebut sentiasa meraikan pelbagai perayaan utama seperti Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

STAR Foundation CSR Programme at Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat, Taman Megah, Petaling Jaya. — YAP CHEE HONG/The Star

Pelbagai aktiviti dilakukan sepanjang program berlangsung.

"Kami akan pastikan setiap anak mendapat pakaian dan makanan baharu untuk setiap perayaan.

"Apa yang penting, mereka rasa dihargai dan disayangi," ujarnya lanjut.

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah ditubuhkan pada 1997 oleh S.K. Manikumar yang juga mendiang suami kepada Umah Devi.

Menariknya, pusat tersebut juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada kanak-kanak istimewa, orang kelainan upaya (OKU) fizikal dan mental.

Terdapat lebih 100 penghuni berbilang kaum berusia antara empat bulan hingga 61 tahun.

"Suami saya beli tanah ini supaya anak-anak tidak dihalau dari rumah yang kami pernah sewa sebelum tubuhkan pusat ini.

"Penduduk sekitar juga banyak membantu menyumbang wang dan tenaga untuk membina bangunan ini.

"Kami di sini seperti satu keluarga besar. Walaupun tidak dapat bersuara seperti orang lain, kasih sayang mereka sangat tulus.

"Sebagai ibu, saya tidak boleh meninggalkan mereka kerana mereka adalah dunia saya," katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai dan Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya.

Sementara itu, Melati pula memberitahu, program berkenaan bukan sahaja bertujuan membawa keceriaan kepada penghuni, malah untuk menzahirkan nilai kasih sayang, empati dan kemanusiaan terhadap golongan berkeperluan khas.

STAR Foundation CSR Programme at Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat, Taman Megah, Petaling Jaya. — YAP CHEE HONG/The Star

Penghuni yang terlibat turut diraikan dengan pemberian makanan daripada McDonald’s Malaysia.

Inisiatif itu selaras dengan matlamat syarikat untuk terus menjadi ‘jiran yang prihatin’ di samping memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan masyarakat.

"Melalui program seperti ini, kami ingin membina semangat kesukarelawanan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk turun padang memberi khidmat kepada masyarakat," jelas beliau.

Pusat jagaan berkenaan dipilih kerana peranannya yang besar dalam menjaga dan mendidik anak-anak berkeperluan khas.

Pemilihan itu juga mencerminkan aspirasi bersama McDonald’s Malaysia dan SGHA dalam meraikan golongan yang kurang mendapat perhatian masyarakat.

"Kanak-kanak di sini melambangkan keberanian, ketabahan dan semangat positif yang wajar dicontohi.

"Nilai-nilai ini juga menjadi teras kepada penganjuran SGHA. Diharapkan kehadiran kami dapat memberi sedikit keceriaan dan sokongan kepada anak-anak dan penjaga di rumah ini," tambahnya.

Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan penganjuran program sedemikian bagi rumah kebajikan di seluruh negara pada masa akan datang.

"Matlamat kami adalah memastikan setiap inisiatif meninggalkan kesan positif yang berpanjangan, mencipta senyuman, memberi harapan dan membawa perubahan sebenar kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.

Program ini menjadi antara komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dan SMG untuk memperkukuh jaringan komuniti dan menginspirasikan lebih banyak organisasi agar turut memainkan peranan aktif dalam usaha kebajikan sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram