PERBEZAAN antara generasi kini jelas semakin ketara terutama ketika berkomunikasi.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ibu bapa dari golongan Milenial terhadap gaya hidup anak-anak generasi Alpha (Gen Alpha) yang dianggap terlalu santai.
Sebagai ibu dari golongan sama, pengguna media sosial dikenali sebagai, Nur Syereena Nojumuddin turut bersetuju dengan perkara tersebut.
BACA LAGI: Menyesal tak sudah, anggap diri gagal jadi suami lepas isteri hidap kanser meninggal dunia
BACA LAGI: Kekal sopan walau kreatif, sosok ibu dan selebriti antara wanita berhijab jadi inspirasi ramai

Gaya komunikasi anak Gen Alpha yang dilihat lebih santai meskipun dilakukan dengan individu lebih tua. — Gambar hiasan
Lebih mengejutkannya apabila melihat interaksi antara anaknya dan guru ketika sesi pembelajaran dalam talian baru-baru ini.
"Ada ibu bapa milenial takut anak Gen Alpha boros, saya pula terkejut dengar anak jawab cikgu dalam kelas.
"Anak jawab 'sabar cikgu, saya tengah buat ini, tak nampak ke?'. Saya punyalah kurang berkenan bila pelajar sekarang mesej tiba-tiba tanya 'Dr dekat mana? Saya nak minta tanda tangan dulu'.
"Zaman saya belajar dahulu nak mesej pensyarah mesti mula dengan salam dan kata maaf," kongsinya.
Situasi itu semakin mencuri perhatian apabila anaknya menunjukkan bekas pensil baharunya dan disambut dengan gelak tawa gurunya.
"Cikgu pula jawab 'wah, cantiknya. Eleh nak berlagak dengan cikgulah itu. Tunggu cikgu beli baharu pula'.
"Mereka seolah-olah rakan sebaya. Tetapi hakikatnya, anak sekarang bukan kurang adab, cuma dunia dah berubah.
"Hierarki jadi lebih rapat, komunikasi lebih santai. Hormat ada cuma bahasanya sudah berbeza.
"Dahulu takut nak memberi suara, mereka hari ini berani bersuara. Jadi, tugas kita pastikan beraninya tetap berbudi," jelasnya.
Seorang lagi pemilik akaun Threads @ira_chan27 yang merupakan guru warga Singapura turut mengakui situasi itu memang menjadi kebiasaan dalam masyarakat kini.
"Saya guru Gen Y (milenial) yang ajar anak-anak Gen Alpha, begitulah cara mereka.
"Ada kalanya macam kawan, tetapi ada masa perlu tegas sebab kalau terlebih mesra, meja dikerumuni mereka.
"Ada pula tiba-tiba datang peluk," katanya.
Situasi itu secara tidak langsung mencerminkan perubahan ketara dalam dunia pendidikan masa kini.
Ia lebih interaktif dan terbuka, namun tetap mementingkan adab demi membentuk generasi berani yang lebih berbudi bahasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
