APAKAH yang mendorong seseorang untuk sanggup tinggal di dalam ruangan sempit yang dikelilingi ratusan helaian jenama mewah?
Jawapannya cukup ringkas, semata kerana obsesi.
Obsesi itu bagaimanapun menjadi topik utama dalam siri buku foto Happy Victims oleh jurugambar Jepun, Kyoichi Tsuzuki yang diterbitkan pada 2008.
BACA LAGI: Seorang lagi masih di NICU, Mejar Fikry sambut 'pre-convo' dengan puteri kembar

Mengumpul barangan fesyen menjadi kebahagiaan kepada mereka. — Agensi
Kini diterbitkan semula oleh majalah Apartamento, siri tersebut secara tidak langsung mengembalikan nostalgia kepada era awal 2000-an ketika fesyen dilihat bukan sekadar pakaian, tetapi pengorbanan.
Menurut Tsuzuki, konsep happy victim merujuk kepada mereka yang menjadikan pakaian sebagai satu-satunya keperluan hidup lebih daripada makanan dan tempat tinggal.
Mereka bukan sekadar membeli pakaian, malah mengumpul jenama tertentu dengan penuh kesetiaan biar pun terpaksa mengetepikan keperluan asas.
Antara kisah yang dirakam Tsuzuki melalui lensa kameranya adalah situasi beberapa rumah penduduk yang dihuni oleh individu yang obses terhadap fesyen.
Menurutnya, terdapat sebuah rumah milik seorang penganggur dan pensyarah sanggup bersesak di dalam unit sempit dipenuhi beg atau kasut berjenama seperti Gucci.

Ruang sempit tidak menjadi halangan buat mereka. — Agensi
Siri fotografi yang disiarkan dalam majalah gaya Jepun Ryuko Tsushin pada 1999 hingga 2006,turut membongkar realiti yang sering dielakkan oleh jenama mewah.
Beliau mendedahkan bahawa pelanggan paling setia jenama terbabit ternyata bukanlah daripada golongan elit seperti dipaparkan dalam kempen atau iklannya.
Sebaliknya, golongan kelas sederhana yang sanggup mengorbankan gaji mereka demi sebuah ilusi kemewahan.
Kata Tsuzuki, kebanyakan jenama besar kurang senang dengan gambaran tersebut kerana ia bercanggah dengan imej glamor yang cuba dipromosikan.
Lebih mengejutkan apabila ramai pengumpul yang berbelanja dalam jumlah besar tidak pernah dijemput menghadiri sebarang acara koleksi fesyen.

Kebanyakan baju yang dikumpul mengikut cita rasa si pemakainya. — Agensi
Malah, memaksa mereka mencari jemputan dan poster melalui laman lelongan sebagai tanda kenangan.
Sepanjang projek itu, Tsuzuki menyaksikan hubungan rapat antara pengumpul barangan fesyen dengan pembantu di butik.
Baginya, butik akhirnya menjadi tempat rujukan para pelanggan tegar dalam dunia fesyen.
Namun, peningkatan harga, perbezaan fesyen serta tekanan ekonomi sekali gus mengubah landskap masyarakat kini.
Ia turut menyebabkan orang ramai terutama generasi muda lebih berhati-hati berbelanja dan memilih pakaian terpakai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
