SELARI dengan matlamat menuju kesaksamaan gender dalam sektor pengangkutan awam, pihak kerajaan di India, Surat Municipal Corporation (SMC) memperkenalkan pemandu wanita pertama dalam Bus Rapid Transit System (BRTS) pada Khamis lalu.
Momen bermakna itu tercipta apabila Nisha Sharma, 41, dipilih sebagai wakil pemandu wanita dalam sektor pengangkutan di sekitar bandar Gujarat, India.
Dengan empat tahun pengalaman, Nisha berjaya menepis persepsi negatif berkaitan kerjaya wanita.
BACA LAGI: Seorang lagi masih di NICU, Mejar Fikry sambut 'pre-convo' dengan puteri kembar
Beliau kini mengendalikan bas elektrik khas wanita dinamakan sebagai Pink Bus sepanjang 12 meter dan berkapasiti 240 kilowatt (kW) yang beroperasi sejauh 24 kilometer (km).
"Saya mahu membuktikan bahawa jika lelaki boleh buat, wanita juga mampu.
"Memandu bagi saya sama seperti buat kerja rumah.
"Sebelum ini, saya pernah memandu bas sebesar 13.5 meter (m) jadi, untuk memandu BRTS mudah sahaja," jelasnya.
Di sebalik kejayaan itu bagaimanapun terselit kisah pilu dalam hidup Nisha.
Pemergian bapanya yang pernah berkhidmat sebagai tentera memaksa beliau untuk terus berdikari demi menyara keluarganya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Somnath Marathe ketika melancarkan perjalanan sulung Pink Bus berkata, pelantikan Nisha turut bertujuan menyampaikan mesej penting kepada masyarakat.
"Beliau merupakan pencapaian penting dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pengangkutan awam di Surat, Gujarat.
"Keyakinan dan keberaniannya wajar dicontohi," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
