MENGGUNAKAN perkhidmatan pengasuh peribadi atau lebih dikenali sebagai 'nanny' sememangnya dapat memudahkan urusan ibu bapa terutama ketika melancong.
Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, timbul pula pelbagai isu berkaitan batas tugas dan layanan majikan tular di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan respons dimuat naik penyanyi, Fynn Jamal di akaun Threadsnya, tugas nanny sering disalah anggap oleh kebanyakan orang.
BACA LAGI: Seorang lagi masih di NICU, Mejar Fikry sambut 'pre-convo' dengan puteri kembar
Fynn pada masa sama mendedahkan bahawa realiti segelintir ibu bapa yang bertindak melepaskan sepenuhnya tanggungjawab kepada pengasuh.
"Memang wujud jenis ibu bapa begini. Ada yang melancong tak pernah tunjuk gambar anak, konon sebab penyakit ain, tetapi sebenarnya ditinggal dijaga bibik.
"Nanny nama atas kertas, tetapi sebenarnya bibik berijazah sahaja.
"Antara kisah paling gelap adalah bila anak yang ditinggal dengan nanny ketika ibu sibuk berseronok terjatuh dan kakinya retak.
"Daripada pulang berlari selamatkan anak, ibu itu malah pesan jangan dibawa ke hospital sebab nak selesaikan sendiri dan tak mahu namanya masuk rekod," katanya.
Respons tersebut juga dibangkitkan susulan dakwaan seorang pengasuh profesional dengan menerusi akaun Threads @yuki.dassamik.
Wanita tersebut tampil menceritakan pengalamannya menjalankan tugasnya untuk sebuah keluarga didakwa individu berpengaruh yang membawa bayi ketika melancong ke Jakarta, Indonesia.
Menurutnya, dia awalnya dimaklumkan hanya membantu apabila diperlukan, namun realiti dikatakan jauh berbeza.
"Empat hari di Jakarta, dari mendarat di lapangan terbang sehingga hari terakhir, mereka habiskan masa di pusat beli-belah.
"Dah tentu tak jadi masalah bagi saya, tetapi ia masalah besar untuk bayinya.
"Saya sampai urut kaki beliau yang lenguh selepas membeli-belah," jelasnya.

Tugas 'nanny' biasanya dilakukan secara separuh atau sepenuh masa bergantung kebutuhan majikan. — Gambar hiasan/AI
Keadaan dikatakan bertambah tegang apabila berlaku insiden pertikaian di sebuah restoran susulan anak majikannya meragam akibat keletihan.
Ia secara tidak langsung menyebabkan dia dilabel gagal menjalankan tanggungjawabnya.
"Keadaan dalam kedai sangat tak sesak dan sangat tak sesuai untuk bayi.
"Tetapi, mereka nampak saya yang bermasalah sebab bayinya dah tak duduk dan menangis.
"Sampaikan dia baling beg depan muka dan menjerit pada saya 'awak buat kerja laju sedikit, jangan lambat sangat!'
"Saya diam dan tak bagi sebarang reaksi," dakwanya.
Dia bagaimanapun memaklumkan tidak bercadang memanjangkan isu tersebut, sebaliknya berkongsi pengalaman sebagai langkah mempertahankan dirinya.
Pasangan berpengaruh itu juga dikatakan sudah memberi penjelasan dan sedang meneruskan tindakan undang-undang terhadap dakwaan tersebut.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkenaan berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
