'Doakan ibu, baba stabil', wanita luah sebak belum mampu tunai hasrat anak teringin tidur hotel ada kolam renang


  • Bonda
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Situasi seorang ibu yang sebak kerana belum mampu menunaikan hasrat anaknya untuk tidur di hotel. — Gambar hiasan/AI

DI sebalik tawa riang seorang anak kecil, tersimpan impian sederhana yang masih belum mampu ditunaikan.

Bukan kerana kurang kasih sayang, tetapi keadaan hidup memaksanya untuk bertahan demi keperluan lebih penting.

Begitulah situasi dihadapi sebuah keluarga apabila seorang ibu meluahkan rasa sebak selepas mendengar permintaan anak perempuannya.

BACA LAGI: Seorang lagi masih di NICU, Mejar Fikry sambut 'pre-convo' dengan puteri kembar

BACA LAGI: Jadi tunjang keluarga lepas bapa meninggal, wanita teruja jadi pemandu 'Pink Bus' pertama

Menerusi video dikongsikan di akaun TikToknya, @adriannamaleeq baru-baru ini, anak sulungnya yang selama ini sukar meminta sesuatu di luar kemampuan keluarga, menyatakan hasrat ingin bermalam di hotel dilengkapi kolam renang.

Menurutnya, permintaan itu pada awalnya disangka hanya gurauan kanak-kanak.

"Kali kedua kakak cakap lagi bila ibu dan baba perlu ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja.

"Kakak nampak bangunan tinggi dan cakap 'mesti ada hotel yang ada kolam'.

"Kakak kata lama tak pergi, padahal memang tak pernah pergi lagi.

"Jangan putus doakan ibu dan baba satu hari nanti bila keadaan dah stabil, mesti kami perlahan-lahan tunaikan permintaan anak-anak," luahnya.

Lebih menyentuh hati apabila anaknya tetap menerima penjelasan dan memahami situasi ibu bapanya tanpa memberontak.

Mengakhiri perkongsian, pasangan itu memohon doa ramai agar keluarganya diberikan rezeki serta dapat keluar dari kemelut hutang.

"Ibu dan baba tak pasti bila waktu itu tenang akan tiba, tetapi kami yakin, cepat atau lambat mesti semuanya akan selesai dan berakhir.

"Semoga ALLAH sentiasa kurniakan yang baik-baik buat kita semua," ucapnya.

Hantaran itu sekali gus mendapat perhatian ramai sehingga ada yang menawarkan keluarga tersebut pakej bermalam di hotel secara percuma.

Bukan itu sahaja, segelintir warga maya yang prihatin turut menghulurkan bantuan serta sumbangan agar dapat meringankan beban keluarga berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram