MAJLIS istiadat konvokesyen menjadi detik paling bermakna buat Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim apabila disambut dengan kehadiran puteri kembarnya baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, beliau memaklumkan baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Kajian Strategik dan Pertahanan (MSDS) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menzahirkan kesyukuran atas perjalanannya sepanjang menuntut ilmu, beliau berpeluang meraikan raptai graduasinya atau pre-convo bersama dua puteri kembarnya yang diberi nama, Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa.
Suasana gembira itu bagaimanapun turut diselimuti rasa sebak apabila seorang lagi anak kembarnya, Maryam Al Khawla masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
"Insya-ALLAH ada rezeki lain kita sambut dengan Maryam Al Khawla sekali. Tidak lengkap konvokesyen daddy tanpa kehadiran mummy dan kembar tiga kesayangan.
"Mohon semua doakan keselamatan dan kesihatan Maryam Al Khawla yang kini masih di NICU dan akan menjalani pembedahan jantung," katanya.
Kelahiran tiga puteri kembar tersebut secara tidak langsung memberi sinar kepada Mejar Mohd Fikry dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini yang sebelum ini ditimpa ujian berat.
Pada 6 September 2024, anak pertama pasangan tersebut, Muhammad Al Fateh dilaporkan meninggal dunia akibat lemas di taska.
Lebih memilukan apabila bayi berusia lapan bulan itu merupakan zuriat pertama yang dinantikan mereka selama 13 tahun selepas berkahwin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
