'TERUS terang, saya bukan jenis anak muda yang tekun belajar'.
Itulah ungkapan yang keluar dari bibir lelaki bernama Febrian ketika mengimbau semula detik perjalanan awal hidupnya sebelum sukses dalam dunia perniagaan.
Bukan sahaja tidak sempat menjejakkan kaki ke universiti, malah Febrian juga tidak berkesempatan menamatkan sesi sekolah menengahnya akibat terlalu kerap tidak hadir.
BACA LAGI: Dulu beratur demi bantuan makanan, ramai tak tahu kisah pengasas WhatsApp
BACA LAGI: Import lembu Australia, Mersing mula jalan projek hab tenusu skala besar cecah RM80 juta

Kisah Febrian yang kini berjaya mengusahakan perniagaan pisangnya sendiri. — Agensi
Ketika rakan sebayanya sibuk mempersiapkan diri ke alam kampus, Febrian terpaksa menerima hakikat untuk mengambil program pendidikan tidak formal setaraf dengan sekolah menengah atas atau dipanggil Paket C.
Namun prinsip hidupnya jelas dan beranggapan bahawa pendidikan tidak hanya melalui bangku sekolah.
Beliau percaya bahawa ilmu paling bermanfaat datangnya dari pengalaman, keberanian mengambil risiko serta kemampuan berkomunikasi dengan pelanggan.
"Dalam menjual, bukan semata-mata apa produknya. Tetapi, bagaimana kita menyampaikannya.
"Kadang-kadang kita jual selipar yang harga asalnya RP5,000 (RM1.24) bagaimana boleh dijual dengan harga RM50,000 (RM12.35).
"Kalau saya amati, semakin besar usaha, semakin besar juga hutang kita kerana itu termasuk dalam kitaran ekonomi dagang kita.
"Bukan bermaksud kita menjual selalu rugi sebab banyak hutang," katanya.

Hoki Banana menjadi pembekal pisang tanduk terbesar di Indonesia. — Agensi
Prinsip itu juga membentuk sebuah syarikat perniagaan diberi nama Hoki Banana yang menawarkan perkhidmatan membekal pisang tanduk terbesar di Indonesia.
Perniagaannya turut dimulakan sejak 2017 ketika usianya 24 tahun.
Strategi bisnes anak muda
Sebelum menceburi sektor perniagaan pisang tanduk, usaha pertama Febrian adalah dengan menjual buah durian.
Awalnya kekal tenang dan menguntungkan namun, tetap diuji dengan pelbagai cabaran.
Menceritakan momen syarikatnya di ambang kejatuhan, Febrian berkata, ia berlaku ketika seluruh negara dilanda wabak pandemik Covid-19.
Katanya, harga pisang mentah dalam pasaran jatuh mendadak daripada RP3,500 (RM0.86) kepada RP300 (RM0.07) sekilo.
Febrian bagaimanapun tidak berputus asa dan memilih untuk memperkenalkan industri pisang ke pasaran runcit.
"Saya ambil inisiatif untuk bawa semua pisang yang sudah matang untuk dijual di pasar.
"Di sana saya boleh jual dengan harga RP3,000 (RM0.74) atau lebih.
"Lebih menarik ramai pembeli disebabkan saiz pisang tanduk yang saya jual semua besar.
"Rasanya juga lebih ke aras masam berbanding manis dan sesuai untuk diolah menjadi kerepek," jelasnya.
Hoki Banana kini bergerak secara meluas di beberapa daerah dan permintaan pisangnya juga bukan sahaja terhadi setakat Jawa Timur, bahkan ke Jawa Barat, Jambi malah, diproses menjadi tepung pisang untuk dieksport ke Jepun dan Arab Saudi.
Berkecimpung 25 tahun dalam industri pernigaan buah, Febrian membuktikan sijil akademik dan modal besar bukanlah nadi utama dalam menjayakan sesebuah perniagaan.
Menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan bapa kepada tiga orang anak, Febrian turut memasang impian untuk memajukan lagi produk di bawah jenama Hoki Banana.
"Yang ingin saya tingkatkan adalah sistem penjualan. Saya mahu punya sistem yang rapi dan kuat.
"Sudah pasti juga saya nak memperluaskan pasaran produk pisang ini seperti olahan inti dalam roti dan sebagainya," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
