DALAM sejarah perubatan moden, hanya beberapa kes benar-benar mencabar batas pengetahuan saintifik dan salah satu daripadanya ialah kisah Lina Medina, seorang kanak-kanak perempuan dari Peru yang bergelar ibu seawal usia lima tahun.
Kejadian luar biasa yang berlaku pada 1939 itu kekal sebagai kes akil baligh paling awal pernah direkodkan.
Lina, yang berasal dari sebuah perkampungan miskin di kawasan pergunungan Andes, dibawa ke hospital oleh ibu bapanya selepas bimbang melihat perut anaknya semakin membesar.
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
Selepas menjalani pemeriksaan penuh, doktor mengesahkan Lina hamil tujuh bulan dan pada 14 Mei 1939, kanak-kanak itu selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat tiga kilogram melalui pembedahan Caesar.
Menurut Dr Erica A. Eugster, pakar endokrinologi pediatrik dari Universiti Indiana, kes sedemikian secara teori boleh berlaku tetapi amat jarang sehingga hampir mustahil ditemui.
"Ini adalah kes yang sukar dipercayai, tetapi ia benar-benar berlaku, Lina mengalami akil baligh pramatang yang melampau dan dipercayai bermula seawal usia tiga tahun, mengalami haid pada usia lapan bulan," katanya.

Lina Medina melahirkan seorang cahaya mata perempuan melalui pembedahan Caesar.
Kes disahkan doktor antarabangsa
Walaupun kelihatan seperti kisah sensasi tabloid, kes Lina disahkan oleh doktor dan penyelidik terkemuka dari Peru dan luar negara.
Dr Edmundo Escomel, ahli Akademi Sains Perancis, menerbitkan laporan lengkap termasuk imej perubatan Lina ketika hamil.
Menurut laporan The New York Times, Lina masih bersifat keanak-anakan selepas melahirkan dan lebih gemar bermain dengan anak patung berbanding bayinya sendiri.
Kes tersebut mendapat liputan antarabangsa sehingga bapa Lina pernah ditahan seketika atas dakwaan sumbang mahram, tetapi dibebaskan kerana tiada bukti.
Kehidupan bergelar ibu
Lina menamakan anaknya Gerardo, sempena nama doktor yang merawatnya.
Menurut beberapa laporan, Gerardo hanya mengetahui bahawa Lina adalah ibunya ketika berusia 10 tahun selepas diberitahu oleh doktor.
Beliau bekerja sebagai setiausaha kepada Dr Lozada dan jarang bersetuju ditemu bual.
Lina kemudiannya berkahwin dan mempunyai anak kedua pada 1972 selepas 33 tahun kelahiran pertamanya namun malang menimpanya apabila Gerardo meninggal dunia akibat kanser tulang pada usia 40 tahun.
Pada 2002, Lina dilaporkan tinggal di sebuah kawasan kejiranan miskin di Lima bersama suaminya namun status kehidupannya selepas itu tidak lagi diketahui secara pasti dengan kali terakhir dilaporkan masih lagi hidup di usia 92 tahun.
Kajian pakar
Pakar mengesahkan kebanyakan kes akil baligh pramatang adalah idiopatik iaitu satu kejadian tanpa punca yang jelas.
Namun, kes ekstrem seperti Lina sering dikaitkan dengan 'hamartoma hipotalamus', sejenis tumor otak jinak mengganggu fungsi kelenjar pituitari, yang mengawal hormon pertumbuhan dan hormon seksual.
Walaupun tiada bukti Lina pernah menjalani imbasan otak moden, Dr Escomel pada masa itu membuat kesimpulan bahawa Lina mengalami gangguan 'pituitari' yang menyebabkan tubuhnya matang sebelum waktunya.
Lebih 80 tahun selepas kejadian, kes Lina Medina masih menjadi salah satu fenomena perubatan paling luar biasa dalam sejarah manusia menggabungkan persoalan biologi, etika dan sosial yang tidak mudah dirungkai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
