Detik terindah buat pasangan TTC, 8 kanak-kanak dapat keluarga baharu sempena Bulan Adopsi Sedunia


  • Bonda
  • Ahad, 30 Nov 2025

Seramai lapan kanak-kanak diserahkan kepada keluarga baharu dalam sebuah program adopsi diadakan di Michigan baru-baru ini.

BERSEMPENA sambutan Bulan Adopsi Sedunia diraikan pada 9 November setiap tahun, suasana penuh emosi dan kegembiraan menyelubungi majlis di Michigan, Amerika Syarikat (AS) apabila lapan kanak-kanak memiliki keluarga baharu.

Detik bermakna itu menjadi lebih istimewa buat empat pasangan yang sekian lama menantikan kehadiran cahaya mata, termasuk pasangan melalui perjalanan panjang Trying To Conceive (TTC).

Bertempat di Flint, Michigan, majlis tersebut dianjurkan sebuah organisasi NGO yang menyediakan perkhidmatan jagaan angkat dan sokongan keluarga.

BACA LAGI: Nak tidur 'melepet' bawah ketiak papa', ada minta tip, 'jealous' Johan akrab dengan anak remaja

BACA LAGI: Murah tapi berisiko, fabrik poliester jejas kulit kanak-kanak, kurang pengaliran udara, perangkap haba

Ia diadakan di mahkamah Genesee County dan dikendalikan oleh Ketua Hakim Probet, Jennie Barkey yang turut menyampaikan ucapan peribadi dan kata-kata semangat kepada setiap keluarga sebelum proses penyerahan dimuktamadkan secara rasmi.

Menurut pihak penganjur, prosedur dilalui setiap keluarga tidak sama kerana ada menunggu beberapa bulan, manakala segelintir daripadanya menempuh perjalanan bertahun-tahun sebelum dapat menggenggam momen terindah tersebut.

 

 

Namun, semuanya terbalas apabila setiap kanak-kanak disahkan menjadi ahli keluarga baharu mereka di depan khalayak ramai sebagai satu langkah simbolik bagi mengiktiraf keberanian, ketabahan dan kasih terjalin.

Hakim Barkey dalam ucapannya berkata, penganjuran secara terbuka itu diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mempertimbangkan anak angkat sebagai pilihan membina keluarga bahagia.

"Dengan mengadakan sambutan secara awam, kami berharap ia dapat memotivasikan lebih ramai orang untuk tampil membantu membentuk keluarga baharu bagi kanak-kanak yang memerlukan," katanya.

 

10,000 kanak-kanak menanti

Data daripada Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Michigan melaporkan terdapat kira-kira 10,000 kanak-kanak masih berada dalam sistem jagaan angkat di negeri tersebut, meskipun angka itu menunjukkan trend penurunan saban tahun.

Usaha mempromosikan kesedaran mengenai program adopsi dan menawarkan lebih banyak sokongan kepada keluarga angkat menjadi fokus utama pelbagai organisasi kebajikan kanak-kanak di sana.

 

Hari Adopsi Sedunia

Hari Adopsi Sedunia (World Adoption Day) mula diraikan pada 2014 dengan tujuan memberi kesedaran global mengenai keperluan anak-anak tanpa penjaga untuk mencari keluarga kekal.

Ia turut menekankan isu stigma terhadap adopsi serta menghargai keluarga angkat, kandung dan individu yang melalui proses tersebut.

Bukan sekadar sambutan tahunan, Hari Adopsi Sedunia menjadi seruan tindakan supaya lebih ramai masyarakat mempertimbangkan peranan sebagai keluarga angkat atau keluarga baharu kepada mereka yang memerlukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram