KISAH tentang pengorbanan ibu bapa sering kali menjadi peringatan bahawa kasih sayang mereka tidak pernah bersyarat.
Walaupun jarang ditunjukkan melalui kata-kata, usaha kecil dan besar yang dilakukan demi anak-anak cukup menggambarkan betapa mendalamnya cinta mereka.
Perkara itu boleh digambarkan menerusi perkongsian Tirah Azmann di laman TikTok baru-baru ini tentang pengorbanan bapanya, Che Azman Mustafa atau lebih mesra dipanggil Aboh yang sanggup menaiki bas dari kampung hanya demi memasang penghawa dingin di rumah sewanya.
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
BACA LAGI: 'Nak tidur 'melepet' bawah ketiak papa', ada minta tip, 'jealous' Johan akrab dengan anak remaja
Tindakan itu mungkin kelihatan biasa bagi segelintir masyarakat namun, Tirah menyifatkan ia sebagai lambang kasih seorang bapa yang tidak pernah berkira soal keringat walau sudah lanjut usia.
Paling tidak dilupakan, bapanya sebelum ini pernah dipandang rendah oleh kenalannya atas faktor tertentu yang akhirnya mengundang pergaduhan besar dengan individu tersebut.
“Saya pernah berjumpa dengan seseorang yang memandang rendah aboh saya dan kami gaduh teruk kerana saya tahu siapa sebenarnya aboh saya.
"Dia adalah hero saya sejak kecil orang yang akan membantu saya dalam apa cara sekali pun, saya sensitif apabila ada yang memandang rendah kerana mereka tidak tahu betapa besarnya hati dia," katanya.
Tambahnya, kematangan membuatkan dirinya menyedari bahawa ayah adalah lelaki yang akan mencintai anaknya lebih daripada segala-galanya, meskipun tidak pandai meluahkan perasaan secara lisan.
"Aboh bukan jenis pandai berkata-kata, tapi semua pengorbanan dibuat untuk anak dia, dia yang diam-diam menua.
"Dia mengajar saya apa sebenarnya erti pengorbanan," tambahnya lagi.
Tirah dalam masa sama turut menitip doa khusus buat kedua-dua ibu bapanya, berharap ALLAH mengurniakan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan.
"Ya ALLAH kurniakanlah syurga buat Abohku Che Azman Mustafa aka Uncle Tony, dan Ummiku Rosidah Mamat, berikanlah kebahagiaan dan kesihatan untuk mereka sepanjang hidup mereka," katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif, dengan ramai pengguna TikTok meluahkan rasa sebak dan turut berkongsi kisah pengorbanan insan tersayang masing-masing.
Ia sekali gus membuktikan bahawa kasih sayang sosok seorang ibu dan ayah tidak pernah lekang walau masa akan terus berlalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
