'Hatyai macam pekan zombie', ibu tolak tilam terapung, redah banjir demi selamatkan 2 anak


  • Bonda
  • Sabtu, 29 Nov 2025

Seorang ibu terpaksa menolak dua anaknya menggunakan tilam demi meredah bencana banjir di Hatyai baru-baru ini. — Gambar hiasan/Janaan AI

KRISIS banjir besar yang melanda Hatyai, Thailand sejak minggu lalu bukan sahaja menjejaskan penduduk tempatan, tetapi turut meninggalkan kesan trauma kepada ratusan pelancong Malaysia yang terperangkap di sana.

Dalam keadaan kota lumpuh sepenuhnya, ada yang terpaksa mengambil tindakan di luar kebiasaan demi meneruskan kehidupan dan mencari jalan pulang.

Seorang pengguna Threads, @akakkofei berkongsi pengalaman mendebarkan selepas difahamkan terkandas selama lebih tujuh hari di lokasi pelancongan popular tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Rumah dinaiki banjir, 2 wanita selamatkan singa peliharaan nyaris hanyut dibawa arus

BACA LAGI: Murah tapi berisiko, fabrik poliester jejas kulit kanak-kanak, kurang pengaliran udara, perangkap haba

Menggambarkan Hatyai sebagai 'pekan zombie' sunyi dan gelap, rata-rata mangsa banjir ketika itu berdepan dengan situasi panik dan terdesak untuk mendapatkan bekalan makanan.

Lebih mencemaskan, ramai pelancong Malaysia terputus bekalan makanan kerana bantuan rasmi yang dinanti tidak kunjung tiba.

"Tanpa elektrik, tanpa bekalan air bersih, tanpa makanan, harapan yang ada orang akan selamatkan kami semua.

"Buat kami bertahan dan akhirnya, survive sendiri walaupun macam pelarian di negara orang," kongsinya.

Selepas dua hari bekalan elektrik terputus di hotel didiaminya, mereka terpaksa mencari sumber air hujan untuk digunakan di tandas manakala makanan diberikan sedikit demi sedikit bergantung kepada apa yang disediakan pihak hotel.

Terdesak mendapatkan bantuan, keluarga itu terpaksa mengambil keputusan berani dengan meletakkan dua anak saudara dan seorang bayi berusia dua tahun di atas tilam terapung untuk meredah air banjir ke lokasi selamat.

"Redah banjir tinggi paras dada, jumpa tilam yang terapung, letak dua anak buah dan bayi 2 tahun atas tu, letak barang sekali kami yang dewasa tolak hampir dua jam meredah banjir.

"Hanya kerana nk ke Central Hatyai tempat bantuan ada, tempat bas balik border ada. Berapa km? 10km (kilometer) jauh dari hotel kami menginap.

"Bot bantuan, lori askar, ada tapi mereka abaikan, mereka peduli rakyat mereka, ya kami terkilan, kami sangat terkilan tapi kami teruskan sampai nampak jalan yang dah surut," tambahnya.

Sepanjang perjalanan 10km itu, mereka berdepan suasana tegang di mana kedai-kedai serbaneka dipecah masuk, penduduk mencari apa sahaja makanan yang terapung dan ada premis yang sudah musnah diceroboh.

"Hatyai macam bandar zombie, penduduk panik, cari makanan dalam banjir, rakyat panik cari makanan dan bekalan di tengah banjir, apa yang terapung semua diperiksa," katanya.

Dalam pada itu, jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas akibat bencana banjir di Hatyai sudah berkurang kepada bawah 300 orang sehingga malam tadi, berbanding 1,500 yang dilaporkan pada Jumaat.

Maklumat itu adalah berdasarkan laporan diterima Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Kedutaan Malaysia di Thailand.

Jelasnya, sejumlah 1,459 orang berjaya dikeluarkan dari lebih 25 hotel sebelum dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ia dilaksanakan melalui tujuh kumpulan yang diselaraskan bersama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Malaysia di Songkhla, Tentera Diraja Thailand (RTA) dan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram