KAIN fabrik jenis sintetik seperti poliester kian menjadi pilihan popular dalam industri fesyen dan pakaian kanak-kanak hari ini.
Ia ekoran tawaran harga murah, mudah dibasuh, cepat kering dan tahan lama yang menjadi pilihan ibu bapa setiap kali membeli pakaian si kecil.
Namun, tanpa disedari banyak kajian dan laporan pakar menyatakan kesan serta risiko fabrik itu terutamanya pada bayi dan kanak-kanak yang kulit serta sistem tubuhnya masih sensitif.
BACA LAGI: [VIDEO] Rumah dinaiki banjir, 2 wanita selamatkan singa peliharaan nyaris hanyut dibawa arus
Penggunaan poliester walaupun praktikal, menimbulkan beberapa kebimbangan daripada isu keselesaan harian hingga potensi risiko kesihatan jangka panjang.
Di laman Threads, rata-rata ibu bapa mula cakna tentang isu berbangkit dan menggesa agar pemilihan fabrik jenis itu dikurangkan dijual di pasaran.
"Mana-mana platform pun ada jual jenis poliester and micro-plastic based, the best is beli cotton based, saya menyesal juga sebab banyak juga membeli baju material merepek ni, sudahnya terbuang juga sebab tak selesa nak dipakai," kata aliphjolie.
"Ibu bapa tolong la jangan beli kids and baby clothings kain poliester, it’s even worse sebab mereka baru nak membesar," ujar presetmalaysia.
"Baju sekarang dah banyak poliester, lepas ada kesedaran dah rajin aku periksa jenis fabrik, poliester kalau campur dengan peluh bau tengik," tambah ayreenaralyn.
Bagi ibu bapa yang utamakan keselesaan dan keselamatan anak, pilihan fabrik semula jadi seperti kapas atau gentian organik semakin dianggap sebagai pilihan bijak.

Pemilihan fabrik jenis poliester (kanan) dan cotton (kiri) sering kali menimbulkan keraguan pada si pembeli. — Gambar hiasan/Agensi
Poliester risiko kulit sensitif
Menurut laporan agensi, antara kelemahan utama poliester ialah sifatnya yang kurang pengaliran udara, memerangkap haba dan peluh pada kulit.
Dalam iklim panas dan lembap seperti di kebanyakan negara Asia, termasuk Malaysia, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan, ruam panas atau kerengsaan kulit, terutamanya bagi kanak-kanak yang aktif dan mudah berpeluh.
Selain itu, fabrik poliester bukan sekadar gentian plastik, ia juga sering diproses menggunakan pelbagai bahan kimia seperti pewarna, formaldehid, flame-retardant dan pewarna sintetis.
Sesetengah bahan itu dikaitkan dengan risiko alahan kulit, iritasi atau reaksi sensitif terutamanya pada kulit halus bayi dan kanak-kanak.
Risiko mikroplastik
Fabrik poliester secara asasnya adalah sebahagian daripada gabungan jenis plastik.
Setiap kali dicuci atau digosok, ia boleh melepaskan serpihan halus dikenali sebagai mikroplastik yang sangat sukar ditapis sama ada di lautan mahupun sistem air semula jadi.
Kajian terkini melaporkan bahawa mikroplastik daripada kain pakaian mungkin diserap pada kulit, yang akhirnya membuka jalan kepada pendedahan berterusan terhadap zarah plastik halus yang boleh meninggalkan kesan kepada tahap kesihatan.
Selain itu, proses pembuatan poliester juga menyumbang kepada jejak karbon tinggi serta pelepasan bahan kimia dan pencemaran, menjadikannya pilihan kurang lestari dari sudut alam sekitar berbanding gentian semula jadi.
Fabrik cotton lebih selamat
Fabrik cotton menawarkan ciri berbeza yang lebih mesra kepada kulit dan keselesaan harian anak kerana mampu menyerap peluh dengan baik, lembut pada kulit sensitif dan tidak memerangkap haba ataupun lembapan seperti poliester.
Bagi bayi dan kanak-kanak yang mudah berpeluh, aktif bermain atau berada di iklim tropika, pakaian kapas membantu mengekalkan suhu badan lebih stabil, mengurangkan risiko ruam panas dan secara amnya memberi lebih keselesaan.
Walaupun poliester menawarkan kemudahan dari segi kos, penyelenggaraan dan ketahanan, bagi pakaian harian terutama untuk bayi dan kanak-kanak, kain jenis cotton masih dianggap pilihan paling selamat.
Ibu bapa dalam masa sama disarankan untuk meneliti label fabrik ketika membeli pakaian dengan pemilihan jenis 100 peratus kapas lebih selamat digunakan jangka masa panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
