'Gamat macam di stadium', 164 murid raih Mumtaz, penutup terindah buat guru besar bakal bersara


  • Bonda
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Guru besar dan warga pendidik SRAI Seksyen 19 meraikan pencapaian murid-muridnya dengan penuh emosi dan sebak.

SUASANA di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam, Selangor bertukar gamat sebaik guru besar, Ustazah Siti Aminah Mohamed Noor pulang dari Majlis Pengumuman keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2025 baru-baru ini.

Bukan sahaja murid dan guru teruja, malah para ibu turut bersorak kuat bagai di stadium meraikan pencapaian luar biasa apabila seramai 164 murid memperoleh markah Mumtaz manakala 41 lagi mendapat Jayyid Jiddan.

Lebih membanggakan, tiada seorang pun murid menerima keputusan Jayyid, Maqbul atau Musaadah, menjadikan pencapaian tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah sekolah berkenaan.

BACA LAGI: Realitinya anak 'milik' ibu bapa hingga usia 12 tahun, sedikit demi sedikit menjauh, hargai zaman mereka kecil — Kaunselor

BACA LAGI: Pelajar sekolah perempuan teruja sambut kunjungan David Beckham, 'join' aktiviti tanam pokok, latihan bola sepak

Lebih manis, kejayaan itu hadir sebagai hadiah paling bermakna buat Ustazah Siti Aminah yang difahamkan bakal bersara hujung tahun ini sekali gus memahat sejarah tersendiri sepanjang tempoh beliau memimpin sekolah itu.

Warga pendidik menerusi hantaran di laman sosial berkongsi memori manis itu yang disifatkan cukup emosi dan membanggakan.

"Alhamdulillah, syukur atas anugerah dan keputusan yang begitu cemerlang ini.

"Terima kasih guru besar kesayangan kami Ustazah Siti Aminah sayangnya beliau akan bersara tahun ni, tahniah buat guru, ibu bapa dan anak-anak SRAI Seksyen 19," ujarnya di laman Threads.

Dalam pada itu, beberapa alumni dan warga pendidik sekolah itu turut mengucapkan tahniah serta berkongsi kegembiraan di ruangan komen.

"Saya murid batch first srais19, zaman Ustaz Zamri, Cikgu Anuar, Cikgu Amri Cikgu Fadhil dan ramai guru-guru yang legend di sana tahniah semua murid dan guru atas kecemerlangan PSRA tahun ini, semoga terus berjaya," kata syafiqmillatina.

"MasyaALLAH hebatnya cikgu dan anak-anak tahniah semua, memang selayaknya mereka jasa guru yang tak dapat dibalas oleh ibu bapa, tak kenal erti penat lelah sepanjang masa berusaha memastikan anak-anak berjaya," ujar shahira2812.

"Terbaikk ustazah dan ustaz, tahniah anak buah ku mumtaz Hafiy Anaqi Amin Safuan," tambah laili_ayu.

Keterujaan paling ketara datang daripada kelompok ibu bapa yang hadir pada pengumuman pencapaian PSRA itu dengan rata-ratanya gagal menahan sebak melihatkan usaha anak-anak serta para guru membuahkan hasil.

Kejayaan itu menjadi bukti bahawa gabungan komitmen guru, sokongan ibu bapa dan kesungguhan murid mampu melahirkan keputusan luar biasa.

Malah, ia sekali gus meninggalkan kenangan paling manis buat warga SRAI Seksyen 19 serta guru besar tersayang yang bakal menutup tirai perkhidmatannya dengan penuh kebanggaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram